Friday, December 21, 2007

Hore... Cuti Sekolah

Jam hampir menunjukkan pukul 1:30 pm. Ibu bapa kelihatan mundar-mandir di hadapan kelas. Tiba-tiba kedengaran lantang suara kanak-kanak mengira… 5, 4, 3, 2, 1… dan bunyi siren… diikuti suara sorakan. Ya.. hari ini murid-murid Dandenong North Primary School balik awal dan sekaligus menandakan bermulanya cuti sekolah akhir tahun yang panjang sehinggalah akhir Januari tahun hadapan.

Guru-guru melepaskan mereka pulang di muka pintu dengan ucapan Happy Christmas dan Happy New Year. Tahun hadapan kesemua anak didik mereka akan naik gred dan secara automatik mendapat guru kelas yang baru. Murid-murid di Grade 6 lebih terasa kesedihan kerana tahun hadapan mereka akan melangkah ke sekolah menengah (secondary) sekaligus meninggalkan guru-guru serta sekolah yang mereka sayangi.

Tahun hadapan Izzuddin akan naik ke Grade 6, Hanisah ke Grade 5 dan Solehah ke Grade 2. Manakala Imran pula mula melangkah ke Kindergarten.

Cuti sekolah yang panjang ini perlu dirancang sebaik mungkin agar mereka semua tidak merasa terlalu bosan, lebih-lebih lagi jika sentiasa berkurung di rumah sahaja. Apa yang pasti Dandenong Library menjadi tumpuan utama untuk meminjam buku-buku, majalah-majalah dan audio-video CDs/ tapes. Selama ini seminggu sekali adalah satu kemestian tetapi sepanjang cuti sekolah ini mungkin lebih kerap lagi.
Menariknya, sepanjang cuti sekolah ini setiap pemegang kad dibenarkan meminjam sehingga 40 buah buku (biasanya 20 buah) selama 3 minggu berserta 2 CD/VCD/DVD dan 2 VHS tape untuk tempoh 1 minggu. Dan kami ada 5 kad, setiap orang satu kad kecuali Imran. Jadi tiada masalah dari segi bilangan item yang boleh dipinjam.

Di samping itu, mereka juga akan dibawa “melancung” ke tempat-tempat menarik di sekitar Melbourne samada balik hari atau menginap sekurang-kurangnya semalaman kiranya tempatnya agak jauh dari Dandenong. Sekarang adalah musim panas dan dijangka cuacanya agak baik dan elok untuk berjalan-jalan (namun, adakala tanpa dijangka boleh berubah). Insya Allah pagi esok kami akan bertolak ke Great Ocean Road yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadinya seperti pantai, 12 Apostles, Lord Ard, London Bridge dll. Kami akan menginap 2 malam di sana sebelum meninjau kawasan perlombongan emas cara tradisional di Ballarat.

Pada hari-hari yang tertentu mungkin akan diaturkan pertemuan sesama mereka di mana-mana padang berdekatan untuk mereka bermain bersama terutama kriket dan bolasepak yang sentiasa menjadi pilihan utama.

Diharapkan sepanjang cuti sekolah ini mereka tidak meninggalkan langsung buku-buku untuk dibaca sekurang-kurangnya untuk mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.

OK… selamat bercuti anak-anak. Gunakanlah setiap masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Moga cuti sekolah ini meninggalkan kenangan yang menarik dan tidak membosankan… 8)

No comments: