Tuesday, December 4, 2007

Tetamu Dari Malaysia - 02

Dari kiri; Fairuz, Marini, Laili, Ruzanna dan Yan bergambar sebelum balik ke apartment
Petang Jumaat baru-baru ini kami berbesar hati menerima kunjungan rakan sekerja Laili di HUKM; Achik Ruzanna, Marini, Fairuz dan Tuty Iriani. Mereka berempat berserta beberapa orang lagi pakar psikiatrik dari Malaysia sedang mengikuti Persidangan Psikiatrik Sedunia di Melbourne dan tamat keesokan harinya sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada hari Ahad. Dalam kesibukan dan kepenatan dengan jadual kursus yang padat, kami amat-amat hargai kerana masih sempat menggagahi diri bertamu ke rumah kami.
Mereka menaiki keretapi dari City dan turun di Dandenong Station selepas tamat sesi ceramah pada petangnya. Tak disangka-sangka mereka dapat tip dari seorang tua yang menyarankan mereka ambil tiket selepas jam 06:00 petang kerana boleh digunakan untuk tempoh lebih panjang (hingga jam 03:00 pagi keesokan harinya) berbanding tiket biasa hanya laku dalam tempoh 2 jam sahaja. Satu tip yang menarik lebih-lebih lagi kami sendiri pun tak pernah naik keretapi tetapi sememangnya berhajat untuk menaikinya di suatu hari nanti, terutama untuk ke Melbourne City yang terkenal sibuknya itu (takut nak bawa kereta..8)
Bila dah berjumpa, macam-macam berita dan cerita yang diperbualkan. Sambil menjamu selera sambil bercerita. Begitulah lumrahnya bila dah lama tak bersua sehinggakan masa yang berjalan pun terasa begitu cepat sekali berlalu. Malam menjelma. Selepas solat Maghrib mereka bertolak balik ke apartment tumpangan di City menaiki keretapi.

Sekali lagi, terima kasih kerana sudi menjenguk kami. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra dari kami di Australia kepada rakan dan kenalan di tanah air.
Insya Allah esok lusa dijangka pensyarah USM yang sedang mengikuti kursus di Sydney akan datang melancung ke Melbourne dan juga dikhabarkan keluarga Shahrir dari Terengganu pun akan datang ke rumah kami. Dan minggu berikutnya diberitakan rakan-rakan Post-Graduate dari Adelaide pula akan turun ke Melbourne. Insya Allah akan dimuatkan dalam entri berikutnya... 8)

No comments: