Anak bongsu kami, Imran sekarang di SM Imtiaz Besut. Baru 6 bulan di Tingkatan 1. Selama 6 bulan tersebut, semua pelajar diwajibkan mengikuti Program Khas Asasi Ulul Albab. Bukan sahaja di SM Imtiaz Besut tetapi di kesemua 8 buah SM Imtiaz Yayasan Terengganu di seluruh Terengganu (setiap daerah sebuah SM Imtiaz).
Imran Bersama Guru-Guru dan Rakan-Rakan SM Imtiaz Besut Di Ruangan Pameran |
Program Khas Asasi Ulul Albab ini bertujuan memberikan penekanan kepada para pelajar dalam aspek Al-Quran, Bahasa Arab dan Personaliti bagi pembentukan Anak-anak Soleh Pintar. Ketiga-tiga aspek ini adalah teras kepada 3 komponen utama dalam visi dan misi melahirkan Generasi Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
Pada awal minggu lepas, kesemua 625 pelajar Tingkatan 1 SM Imtiaz berkumpul di SM Imtiaz Kemaman bagi meraikan Majlis Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab bagi tahun 2017.
Di samping ucapan oleh Pengarah Yayasan Terengganu dan perasmian oleh Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, turut sama berlangsungnya Majlis Anugerah Untuk Para Pelajar dan Guru yang dikategorikan mengikut sekolah masing-masing.
Anugerah Hafazan Terbaik (L) |
AlhamduliLLAH... dan TAHNIAH untuk Imran kerana berjaya mendapat salah satu anugerah - Anugerah Hafazan Terbaik (Lelaki). Moga ALLAH sentiasa mengurniakan yang terbaik untuk Imran, bukan sahaja dalam hafazan tetapi di semua bidang lainnya... Aameen.
AlhamduliLLAH... kami berdua berkesempatan turut sama meraikan kejayaan Imran di SM Imtiaz Kemaman. Ianya sebagai sokongan moral untuk Imran atas setiap pengorbanannya selama ini terutama terpaksa berjauhan daripada keluarga di saat rakan-rakan sepengajian lain saban minggu dapat bersua muka dengan ibu bapa mereka.
Dari Puchong, kami bertolak sebelum Subuh, menyinggah solat di Hulu Kelang sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman dan tiba sekitar jam 9:15 pagi. Masih awal... dapatlah kami berjumpa dengan Imran yang sedang bersiap sedia di meja pameran serta beramah mesra bersama guru-guru pengiring dan rakan-rakan sepengajiannya.
Selepas melepaskan kepulangan Imran ke Besut bersama rombongan 3 buah bas sekitar jam 4:00 petang, kami bertolak pulang ke Puchong. AlhamduliLLAH... kami selamat tiba kira-kira jam 8:00 malam, manakala rombongan SM Imtiaz Besut pula dimaklumkan tiba sebelum masuknya waktu Maghrib.
No comments:
Post a Comment