Tuesday, August 7, 2018

California > Golden Gate Bridge - Palace of Fine Arts

Hari terakhir (18/06/2018) di California. Selepas check out daripada rumah sewa di 4th Ave, Sacramento, kami singgah di Walmart Supercentre untuk misi borong coklat. Juga ke kedai cenderahati di UC Davis dan ke UC Davis Islamic Centre untuk solat jamak-qasar.

Malamnya kami perlu berada di San Francisco Intl Airport - check in Cathay Pacific untuk pulang ke tanah air untuk penerbangan jam 1:00 pagi esoknya. Manakala Iddin juga perlu check in penerbangan domestik ke Chicago - bercuti sakan sebelum berangkat pulang ke tanah air 3 minggu selepasnya.

Masa masih ada. Sebelum memulangkan kereta sewa ke Hertz @ SF Airport, kami ke Golden Gate Bridge dan juga Palace of Fine Arts.

Aksi Riang Ria 4 Beradik...
Golden Gate Bridge

Kami tiba di Golden Gate Bridge Vista Point sekitar jam 4:30 petang - kedudukannya di atas bukit menghadap ke jambatan tersohor tersebut menghasilkan pemandangan keseluruhan jambatan berkenaan. Suatu peluang bergambar yang tidak sewajarnya dilepaskan. Lebih-lebih lagi dengan cuaca yang amat baik sekali.

Angin yang bertiup, sesekali kuat terasa amat sejuk sekali. Hidung berair dan telinga pula sakit. Hairan dibuatnya melihat segelintir pengunjung yang hanya berpakaian singkat dan terdedah... agaknya alah bisa tegal biasa....

Ukuran panjang Golden Gate Bridge ini kira-kira 1.6km dengan ketinggian hampir 230 meter - menghubungkan San Fanscisco Peninsula dengan Marin County. Peliknya warna jambatan ini adalah merah terang, bukannya warna kuning keemasan seperti mana namanya. Rupa-rupanya di waktu malam warna keemasan tersebut amat menyerlah dek pantulan cahaya lampu-lampu yang menghiasinya... itulah asal namanya.

Beredar dari Vista Point, kami merentasi Golden Gate Bridge menuju ke Lyon St di mana singgahan seterusnya di Palace of Fine Arts.

Berlatarkan Rotunda dan Colonnade
Palace of Fine Arts

Dibina dengan inspirasi senibina Roman dan Ancient Greek. Jelas kelihatan rotunda dan colonnade yang dilingkungi oleh lagun/kolam buatan di hadapannya. Di bahagian belakangnya masih ada bangunan lain, antara dewan teater yang masih digunakan.

Bangunan asalnya telah dibina untuk 1915 Panama-Pacific Exposition. Seusai program berkenaan, ianya telah dirobohkan kerana binaannya tidak kukuh - rangkanya hanya kayu bersalutkan kapur.

Pada tahun 1965, ianya dibina kembali dengan dilakukan baik pulih secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi antara mercu tanda tarikan pelancong ke San Francisco khususnya dan California dan USA amnya.

Di sebalik keunikannya, kami kurang berkenan dengan lagun/ kolamnya yang menjadi habitat angsa, itik, kura-kura dan ikan.... airnya kotor, berlumut hijau dan baunya kurang menyenangkan.

Menghampiri jam 6:00 petang, kami segera bergerak meninggalkan Palace of Fine Arts menuju San Francisco Internatioanl Airport - barangan yang dibawa perlu dipunggah turun dan kereta sewa perlu dipulangkan sebelum jam 7:00 petang di Hertz Airport.

Berakhir sudah kembara kami di bumi California...

No comments: