Saturday, August 4, 2018

California > Yosemite National Park

Hari ketujuh di California... malamnya kami menginap di Days Inn @ Central Fresno. Kini kami berenam termasuk Iddin yang baru sahaja tamat peperiksaan akhirnya pada hari sebelumnya.

Pagi yang agak sejuk sehingga berair hidung dibuatnya. Seusai bersarapan di Days Inn Cafe, kami terus check out dan bertolak ke arah Wawona di bahagian selatan Yosemite National Park. Jaraknya sekitar 110 km. Bagi kita di tanah air dianggap jauh tapi di negara besar seperti USA, itu dikira dekat sahaja.

Melewati Yosemite NP, jelas kelihatan di sana-sini kelompok pepohonan pines rentung akibat terbakar. Difahamkan kejadian setahun yang lepas. Untuk makluman, kawasan hutan di California sering mengalami bush fire yang teruk ketika musim kemarau.

Menghampiri pintu masuk, kira-kira setengah jam kami terperangkap dalam deretan panjang kenderaan menunggu giliran untuk membayar tiket masuk - USD35/kereta. Mahal atau murah bergantung kepada persepsi masing-masing.

Di Yosemite National Park, kami menyinggah di 3 lokasi iaitu Mariposa Grove, Glacier Point dan Yosemite Valley.

Mariposa Grove

Kereta diletakkan di Mariposa Plaza. Untuk ke Mariposa Grove, kami menaiki shuttle bus yang disediakan secara percuma.

Mariposa Grove terkenal dengan gugusan pokok sequoia yang bersaiz besar dan tinggi menjulang menongkah langit. Usianya boleh menjangkau sekitar 2000 tahun. Salah satu pokok sequoia yang tertua di taman ini dikenali sebagai Grizzly Giant, dikatakan berusia 1900 - 2400 tahun

Terdapat 4 denai (trail) yang disediakan, bergantung kepada masa yang ada dan kesukaran yang perlu dihadapi. Kami pilih yang terpendek iaitu Big Trees Loop Trail sejauh 0.5 km sahaja. Itupun memakan masa hampir sejam. Banyak perkara menarik yang ingin diterokai dan difahami; antaranya sejarah Mariposa Grove, anatomi pokok sequoia, rahsia bulatan serta kesan parut pada permukaan bongkah pokok dan usaha-usaha pemeliharaan yang dilakukan.

Glacier Point

Pada ketinggian 2,200 meter, pemandangannya amat mempesonakan, menghadap Half Dome, High Sierra, Yosemite Falls, Nevada Fall, Vernal Fall dan Clouds Rest. Nun... di bahagian lembahnya pula kelihatan menghijau Yosemite Valley.

Bagi peminat fotografi, panorama indah ciptaan ILLAHI yang terbentang luas pasti dirasakan bagaikan syurga. SubhanALLAH... tidak terbayang akan keindahan sebenar syurga nan hakiki.

Pada musim sejuk (Disember-Mac), persekitaran Glacier Point menjadi tumpuan peminat ski dan snowboard, juga bagi yang ingin merasai suasana dilingkungi salji.

Yosemite Valley

Beredar dari Glacier Point, kami turun ke perlembahan Yosemite yang menjadi tumpuan utama pengunjung ke Yosemite National Park. Keluasannya 12 km dan kedalaman 900-1000 meter serta dikelilingi puncak batuan granit dan pepohonan pines. Aktiviti hiking merentasi hutan dan camping adalah antara yang menjadi tarikan di sini.

Bagi kami bukan itu tujuannya. Kami hanya singgah untuk ke tandas dan kedai cenderahati. Tidak terkecuali untuk menghayati persekitarannya dari posisi bawah pula.

Melewati jam 5:00 petang, kami mula meninggalkan Yosemite National Park menuju Manteca, seterusnya tiba di rumah penginapan di 4th Avenue, Sacramento sekitar jam 9:00 malam.

Penjelajahan dan perjalanan yang amat memenatkan. Selepas solat jamak taakhir Maghrib-Isyak, tiada apa yang diinginkan selain daripada tidur...zzZZ

2 comments:

Anonymous said...

Jijah satay ulu kelang

Anonymous said...

+60178707020