Tuesday, July 24, 2018

California > Old Sacramento

Kami bertolak dari Cannery Row, Monterey ke Sacramento sekitar jam 2:30 petang. Pendaftaran masuk ke penginapan baru di Citrus Heights pula selepas jam 4:00 petang. Masih ada masa untuk menyinggah di mana-mana tempat berdekatan.

Meninjau Fungsi dan Aktiviti Wells Fargo
Pilihan kami adalah ke Old Sacramento State Historic Park atau Old Sac - sebuah pekan lama berkeluasan 28 ekar yang masih dikekalkan kesan sejarahnya. Difahamkan terdapat kira-kira 53 bangunan bersejarah yang menempatkan sebilangan besar restoran/cafe dan pelbagai kedai jualan, termasuklah hotel dan muzium.

Old Sacramento mula menjadi tumpuan mulai tahun 1848 berikutan penemuan galian emas. Di mana-mana sahaja, jika emas ditemui, maka persekitarannya pasti berubah terutama sistem pengangkutan dan penghantaran.

Tidak hairanlah ia menjadi antara laluan utama keretapi, antaranya Pony Express. Begitu juga dengan Wells Fargo yang menguruskan penghantaran seperti surat/telegraf dan emas.

Di Old Sacramento, kami hanya meninjau sepintas lalu persekitarannya yang tampak unik dan menarik dengan dilingkungi pelbagai bentuk senibina bangunan. Teringat kami akan persekitaran seumpamanya ketika di Bendigo, Victoria, Australia yang juga terkenal di zaman Gold Rush.

The Big Four
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas akan Old Sacramento, para pengunjung boleh sahaja berkunjung ke beberapa muzium yang terdapat di sini; antaranya California State RailRoad Museum, Automobile Museum, Sacramento History Museum, School House Museum dan Wells Fargo Museum. Boleh juga mengikuti penjelajahan Old Sacramento Undergorund atau menaiki keretapi stim melewati Sacramento River.

Kami hanya sempat masuk ke Wells Fargo Museum dan menyinggah seketika di pintu masuk Sacramento History Museum. Ikutkan hati memang banyak tempat yang ingin diterokai, namun apakan daya... masa yang ada agak suntuk.

Kami perlu bersegera ke rumah penginapan di Meadowriver Way, Citrus Heights untuk menunaikan solat jamak-qasar Zohor-Asar, seterusnya bergegas ke UC Davis untuk menjemput Iddin yang baru tamat peperiksaan akhirnya. Di sebelah malamnya pula kami mendapat undangan berbuka puasa dan sambutan Hari Raya di rumah Tuan Roslan-Puan Aisyah tidak jauh dari penginapan kami. Ianya adalah hari terakhir Ramadhan di USA.

No comments: