Friday, July 6, 2018

California > Kenderaan dan Penginapan

Setibanya di San Francisco Intl Airport, kami mengambil kereta 7-seater yang telah ditempah di Hertz, salah sebuah syarikat sewaan kenderaan yang terkenal di dunia. Kami pernah menggunakan khidmatnya ketika di Australia dahulu. AlhamdulILLAH... diberinya Toyota Highlander yang cukup selesa.

Bagi pelancong, lesen memandu sedia ada boleh digunakan. Cuma perlu berhati-hati kerana pemanduan di USA adalah di sebelah kiri, lebih-lebih lagi ketika membelok ke kiri atau ke kanan. Alah bisa tegal biasa.

Untuk ke mana-mana kami lebih suka menggunakan GPS Waze berbanding Google Maps - mungkin telah terbiasa. Manakala jarak perjalanan pula dalam kiraan batu, bukannya kilometer - sedikit mengelirukan apabila melihat papan tanda di tepian jalan.

Petrol di USA agak mahal, purata $3.5/gelen. Di kawasan terpencil lagi mahal, boleh mencecah $5/gelen. Harganya berubah setiap hari dan tidak sama antara satu stesen minyak dengan stesen minyak yang lain walaupun namanya sama. Kami dapati ARCO menawarkan harga yang lebih murah.

Penginapan

9 Hari 8 Malam kami bermusafir di bumi California, 4 tempat berbeza kami menginap. Kesemuanya melalui carian Airbnb. Untuk penginapan pertama, kami usahakan mencarinya dari tanah air.  Selebihnya dilakukan oleh Izzuddin.

Faktor utama dalam memilih rumah sewa adalah tidak jauh daripada tempat yang ingin kami kunjungi. Sebolehnya ada dapur untuk memasak, maka homestay menjadi keutamaan pilihan kami.

Secara umumnya, hampir semua rumah di California mempunyai ciri-ciri luaran dan dalaman yang lebih kurang sama sahaja dengan Australia yang pernah kami bermukim dahulu. Bagi rumah sebuah, laman hadapannya terbuka menghadap ke jalan raya dan laman belakangnya tertutup dengan pintu di bahagian tepi. Tandasnya telah sedia maklum... tandas kering tanpa paip air untuk bersuci - jadi perlu sediakan air dalam botol atau seumpamanya. Ingat... pastikan ruangan kakinya tidak basah.

Santa Clara

5 hari pertama (10/06~15/06/2018) kami menyewa di Tracy Drive, Santa Clara - rumah sebuah 3 bilik milik keturunan India yang dilengkapi sistem pemanas berpusat. Syukur kerana malamnya agak sejuk.

Ruang belakangnya luas tetapi kami tidak berkesempatan melepak di luar. Banyak masa di dalam rumah sahaja dek penangan jet lag dan penat berjalan di siang harinya.

Secara umumnya rumahnya selesa tetapi aturan dalamannya kurang kemas, menyamai kebanyakan rumah orang-orang Asia. Ok aje kerana kami pun jenis menyepah jugak...😅... Untuk pusingan pertama, sempatlah kami membasuh dan mengeringkan pakaian di sini.

Citrus Heights

Pada hari ke-5 kami berpindah pula ke Meadowriver Way, Citrus Heights. Wow... rumah yang paling kami suka... asalnya garaj kereta yang diubahsuai menjadi rumah kecil yang simple tapi padat. Tiada dapur untuk memasak tetapi disediakan microwave, coffee maker dan peti sejuk.

Sofa bed dan pendiang elektrik di ruang tamu, bersebelahannya meja makan. Inilah ruang lepak kami untuk menonton TV dan makan=makan.

Terdapat juga sebuah bilik tidur dan bilik air di bahagian bawah. Naik ke loteng, hanya dilengkapi katil besar dan ruangan santai. Walaupun aturan perabutnya sendat tetapi kemas dan ringkas.

Kami berkesempatan berjumpa tuan rumah, Mr. Sergie ketika check in dan check out. Malah sempat bergambar dengan kami yang lengkap berpakaian Melayu seragam, bersedia untuk ke masjid bersolat sunat Eid Fitr

Fresno Central

Hari ke-6 kami bermalam di Days Inn, Fresno Central. Bagai dijangka, kemudahannya lebih kepada untuk merebahkan badan tetapi masih disediakan kemudahan pemanas/penyejuk, peti sejuk dan microwave.

Untuk makan malam, kami beli di Kedai Halal di sekitar Fresno. Sambil=sambil itu kami habiskan sedikit sebanyak bekalan makanan berbungkus serta buahan yang dibawa.

Keesokan harinya... sarapan pagi disediakan oleh Days Inn secara berkelompok di cafe yang agak tersorok; antaranya bijirin, roti, bubur oat, pisang dan minuman panas serta jus buahan. AlhamduliLLAH tidak perlu kami bersusah payah menyediakan makanan. Tambahan pula kami sedang mengejar masa untuk ke Yosemite National Park yang berjarak 100 batu.

 Sacramento

Dua malam terakhir kami menginap di rumah banglo 2 tingkat di 4th Ave, Sacramento. Rumah besar yang amat selesa dengan kemudahan 3 bilik tidur, 2 bilik air, dapur untuk memasak dan ruang makan serta ruang tamu yang luas.

Tersedia juga mesin basuh dan pengering untuk kami laksanakan misi cucian untuk kali kedua, juga yang terakhir.

Di sini kami memasak nasi kabsah dan rendang daging yang dibawa dari tanah air. Ayam dan dagingnya dibeli di Salam Halal Shop di Oakland. Sebahagiannya diberikan kepada rakan-rakan Izzuddin di rumah sewa mereka @ Davis. Begitu juga lebihan barangan makanan yang dibawa, juga diserahkan kepada mereka.

Demikianlah sepintas lalu kenderaan dan rangkaian penginapan yang kami duduki. AlhamdulILLAH...!

No comments: