Thursday, July 5, 2018

California > Penerbangan KUL-HKG-SFO

Tanggal 10-Jun-2018... sekitar jam 10:30 pagi kami berlima bertolak dari Ulu Kelang ke KLIA. Terima kasih Fahimey-Eusni serta Abah-Emak yang hantarkan kami. 

Dua beg troli dan 1 kotak makanan dibalut plastik agar terhindar daripada anasir tidak beretika atau terkoyak/pecah ketika pemindahan bagasi. Cajnya RM 13.50 per beg/kotak = RM 39.45. Tidak mengapalah, asalkan selamat. Pendaftaran masuk telahpun dilakukan secara online dan boarding pass pun dah di tangan, jadi kami cuma perlu ke kaunter serahan beg @ Area H sahaja.

Kuala Lumpur - Hong Kong

Penerbangan Cathay Dragon A330 (seat: 2+4+2) berlepas sekitar jam 1:30 petang dan selamat tiba di Hong Kong Intl Airport kira-kira jam 5:10 petang (waktu Hong Kong dan Malaysia pada zon masa yang sama) - 3 jam 40 minit yang selesa dan lancar. Masa yang ada digunakan untuk menonton video - OK le banyak video yang belum ditonton atau ulang tonton.

Majoriti penumpang adalah berwajah Cina - tak pasti negaranya. Pakaian pramugarinya nyata lebih sopan berbanding penerbangan di tanah air sendiri. Itu komen Imran yang kerap naik Malindo Air dan Firefly. Ketika dihidangkan juadah tengahari, kami terpaksa menolak kerana sedang berpuasa - walaupun mereka kurang faham tetapi mereka berusaha untuk membantu dengan dibekalkan muffin dan makanan panas sebelum kapal terbang mendarat. Terima kasih...!

Berbuka puasa
Hampir 2 jam transit di HKIA... tumpuan pertama kami adalah Prayer Room (gunasama semua agama) untuk solat jamak-qasar Zohor-Asar. AlhamdulILLAH ianya terletak di Area 42, turut sama disediakan ruangan untuk berwuduk.

Tempat menunggu adalah di Area 48 di mana pesawat dijadualkan berlepas ke San Francisco jam 7:15 malam. Kami berkira-kira macam mana nak berbuka puasa sedangkan waktu Maghribnya pukul 7:07 malam. Masa yang terlalu suntuk serta khuatir makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke kapal terbang.

SubhanALLAH... PerancanganNYA amat cantik - masa penerbangan telah dilewatkan 15 minit... Sementara menunggu barisan panjang untuk masuk, kami ada masa untuk makan bekal yang dibawa. Jadilah kami penumpang terakhir bergerak masuk ke Cathay Pacific. AlhamdulILLAH.

Hong Kong - San Francisco

Penerbangan Cathay Pacific A350-900 (seat: 3+3+3) berlepas sekitar jam 7:15 malam. Majoriti penumpangnya juga warga Cina, sebahagian kecil sahaja wajah-wajah orang putih.

Kami dihidangkan dengan minuman jus dan kacang goreng - segar sedikit rasanya. Diikuti pula dengan Muslim Meals yang telah ditempah khas. Istimewanya kami dilayan dahulu sebelum penumpang lain mendapat giliran mereka. AlhamdulILLAH ada hikmahnya.

Muslim Meals - AlhamdulILLAH...!
Kami berbelah bahagi... perlukah berpuasa keesokan harinya. Sememangnya dibolehkan tidak berpuasa kerana sedang bermusafir tetapi sayang pula, rasanya boleh bertahan sehingga waktu Maghrib di San Francisco iaitu hanya 4 jam selepas ketibaan kami. Apa-apa pun pasang niat dahulu untuk berpuasa.

Kami bersolat jamak di tempat duduk sahaja dan menunggu masuknya waktu Subuh sekitar jam 10:30 malam - itu pun sejam sahaja masanya. Sebelum Subuh, kami bersahur dengan kurma dan air mineral.

Masa panjang yang ada digunakan untuk melayan bermacam program di skrin atau pun tidur sahaja. Makanan yang disediakan ditolak kerana kami sepakat untuk meneruskan puasa.

Sebenarnya penerbangan kami mengundur ke belakang, merentasi masa dan hari. Sekitar 12 jam dalam kapalterbang tetapi tiba di destinasi (San Francisco) pada hari yang sama, 10-Jun sekitar jam 4:15 petang. AlhamduliLLAH kami dapat bertahan tidak makan dan minum sehinggalah waktu berbuka. Uniknya kami berpuasa 2 kali pada tarikh yang sama... dikira 2 hari kerana ada sahur dan berbuka.

Tiba @ San Francisco

Akhirnya....
AlhamdulILLAH... pemeriksaan bagasi berjalan lancar. Kotak makanan diselongkar - 2 barang tak lepas iaitu paket Nasi Briyani Kambing kerana didapati tertulis chicken flavour dan serunding daging. Selebihnya selamat... adalah bekalan dengan citarasa Malaysia di negara orang.

AlhamdulILLAH... berjalan keluar dari pintu ketibaan, Iddin telah pun menunggu. Seronok dapat berjumpa setelah hampir 2 tahun tidak bersua muka.

Sebelum beredar mendapatkan kereta sewa di Hertz (Airport), kami bersolat jamak dahulu di Reflection Room di Tingkat 2. Suatu ruangan yang luas untuk beristirehat tetapi tidak disediakan kemudahan berwuduk dan ruangan untuk bersolat - pilih sahaja sudut mana yang sesuai dan selesa. Yang penting kewajiban kepada Yang Maha Esa dapat ditunaikan.

Suhu di luar lapangan terbang agak sejuk, sekitar 20^C (sebenarnya US guna ^F). Ditambah pula dengan tiupan angin - terasa menyengat hingga ke tulang. Dah lama tak merasa sejuk...

AlhamdulILLAH... segalanya dipermudahkanNYA...

No comments: