Monday, May 19, 2008

Cuti-cuti Australia > Port Campbell

Pada akhir bulan lepas (24/04 - 27/04), untuk kali ketiganya sejak berada di Victoria, kami sekeluarga diluangkan masa oleh Allah SWT untuk berkunjung ke Adelaide, ibu negeri South Australia (SA). AlhamduliLlah.

Umumnya, Adelaide bukanlah tempat asing bagi kami kerana Laili dan anak-anak pernah tinggal di sana selama hampir 7 bulan pada akhir tahun 2006. Malah masih ramai kenalan rakyat Malaysia di sana samada rakan pelajar mahupun penduduk tetap. Di waktu itu Laili mengikuti kursus medical sub-speciality di Flinders University dan anak-anak pula bersekolah di Boulevue High Primary School. Kini Laili mengikuti pengajian peringkat PhD di Monash University dan anak-anak bersekolah di Dandenong North Primary School.

Mak dan abah sedang memberi makan camar di Port Campbell Harbour
Kali pertama kami ke Adelaide adalah pada 13/08/2007, selepas 2 minggu tiba di Melbourne dan baru sahaja mendapat rumah sewa yang diduduki kini di Dandenong. Tujuannya mengambil kereta Peugeot Wagon, kelengkapan rumah dan kain baju yang disimpan di rumah sewa lama di Sturt, SA yang kini disewa oleh Kak Dariah. Kali ke dua kami ke sana, atas tujuan yang sama (masih ada yang tidak muat diangkut sebelumnya) pada bulan Ramadhan tahun lepas, kira-kira sebulan selepas kunjungan pertama. Kedua-dua kalinya kami merentasi kawasan kontang, Western Hwy.

Perjalanan kami ke Adelaide pada kali ini turut sama disertai oleh abah, mak, Hadi dan kawannya, Khalil, lebih bermotifkan percutian keluarga. Kami bertolak pada hari Khamis melalui laluan pantai, singgah di Port Campbell, Mt. Gambier, Naracotte sebelum ke Adelaide. Kami bertolak pulang ke Melbourne pada hari Ahadnya melalui Western Hwy. Kebetulan anak-anak bercuti, Curriculum Day pada hari Khamis dan Anzac Day pada hari Jumaat.

Khamis (24/04/2008) - Berkunjung ke Port Campbell

Kami tiba di Port Campbell Harbour kira-kira jam 12:30 tengahari setelah hampir 3 jam perjalanan melalui Princess Hwy. Tak disangka-sangka terserempak Dr. Norhayati Nordin berserta ibu serta ibu saudaranya yang baru berkunjung ke Great Ocean Road serta Twelve Apostles. Makan tengahari bersamalah jawabnya. Burung-burung camar kelihatan terbang bebas dan hinggap jinak memagut rezeki yang ditabur pengunjung. Air lautnya berombak tenang menghempas pepasir pantai. Di tengah-tengah teluk, mengunjur jeti dengan beberapa bot teroleng-oleng dimain ombak. Pemandangan nan indah dan mengasyikkan ciptaanNya.

Seterusnya kami menuju ke Port Campbell National Park, kira-kira 8 km darinya untuk melihat keajaiban batuan Twelve Apostles yang dikaitkan dengan pengikut setia Jesus. Tercapai hasrat kami untuk melihatnya dalam suasana cuaca yang lebih baik dari kunjungan kami sebelum ini, terutama mak dan abah yang hanya sempat melihatnya dalam kelam awal malam ketika bersama Bakhtiar dan Suraya sebulan yang lalu. Untuk Hadi dan Khalil, ianya dikira bertuah.

Sebelum bertolak ke Mount Gambier, kami singgah di Lord Ard Gorge, satu teluk yang tenang airnya dan amat cantik pemandangannya. Lord Ard adalah nama kapal yang karam dilanda ribut pada tahun 1878 di hadapan teluk tersebut yang menyaksikan 52 orang terkorban dan hanya 2 orang sahaja terselamat, anak kapal dan penumpangnya.

AlhamduliLlah kami tiba di Pine Country Caravan Park di Mount Gambier, South Australia kira-kira jam 08:00 malam melalui Great Ocean Road dan Princess Hwy. Perjalanan yang jauh dan amat memenatkan. Kabin 1 biliknya agak selesa dengan 1 double bed dan 1 double decker. Turut sama dilengkapi pemanas, dapur, peti ais dan televisyen. Cadar, selimut dan bantal dibawa sendiri kerana kosnya lebih mahal kiranya termasuk dalam sewaan. 2 kabin disewa untuk 2 keluarga. Sejuk musim luruh menghampiri musim sejuk amat terasa. AlhamduliLlah sedikit hangat dengan adanya pemanas.

No comments: