Monday, May 12, 2008

Cuti-cuti Australia > Great Ocean Road

Penggal ke-2 persekolahan di Victoria bermula pada 08/04/2008 (Isnin). Pada hari Khamisnya, 11/04/2008, mak, abah, Bat dan Aya dengan ditemani Laili dan Imran telah ke Great Ocean Road. Dikatakan tidak lengkap kiranya datang ke Melbourne jika tidak ke sini. Mungkin ada betulnya.

Pesisiran pantai di sepanjang laluan Great Ocean Road memang terkenal dengan keindahan pantai yang memutih pasirnya, lautan tanpa tepian, teluk yang pelbagai bentuk, unjuran batu tegak di permukaan air serta dinding batu yang melengkung di hakis angin. Udaranya yang nyaman dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa makin melekakan pandangan. Tambahan pula dengan pelbagai kisah-kisah menarik berkaitan dunia pelayaran di zaman lampau turut sama mewarnai keterujaan para pelancung untuk berkunjung ke Great Ocean Road ini.

Mereka bertolak dari Dandenong menjelang tengahari ke Monington Peninsula untuk merasai pengalaman menaiki feri menyeberangi Port Phillip Bay dari Sorento ke Queenscliff di Bellarine Peninsula. Tambang kenderaan dan tambang penumpang adalah berbeza, kedua-duanya perlu dibayar, berbeza dengan feri ke Langkawi di tanahair, tambang kenderaan dan penumpang disekalikan.

Perjalanan diteruskan sehingga memasuki Great Ocean Road di Torquay menuju ke Anglesea. Bermulalah laluan menyusuri pesisiran pantainya. Sesekali singgah di tempat tinjauan yang disediakan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Memang cantik apatah lagi di bawah sinaran mentari yang cerah tidak seperti kunjungan kami pada akhir tahun lepas di mana hujan turun di sepanjang jalan.

Mereka berhenti di Apollo Bay untuk makan dan solat jamak sebelum merentasi Banjaran Otways menuju ke Port Campbell Park. Ketika tiba di sana, matahari telah pun tenggelam dan pemandangannya kelam sahaja. Batuan Apostles kelihatan samar-samar sahaja di sinari cahaya matahari yang semakin suram. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya telah dapat melihat sendiri Twelve Apostles yang sering diperkatakan oleh mereka yang pernah berkunjung ke Australia. Mungkin di lain ketika akan ada kesempatan yang tidak dijangka-jangka. Siapa tahu… segalanya ketentuan dariNya.

No comments: