Sunday, May 11, 2008

Cuti-cuti Australia - Phillip Island

Sabtu (05/04/2008)

Penat seminggu menjelajah timur Australia masih lagi terasa. Malamnya baru tiba dari Canberra, hari ini kami meneruskan lagi misi Cuti-cuti Australia, kini di Melbourne pula. Menjelang tengahari, kami bertolak ke Phillip Island, kira-kira 100 km dari Dandenong melalui South Gippsland Hwy dan Bass Hwy.

Mengikut sejarah, Phillip Island ditemui oleh George Bass pada bulan Januari, 1798 dan dinamakan sempena nama Kapten Arthur Phillip, gabenor yang pertama. Pulau ini berkeluasan sekitar 1,000 hektar (26km x 9km) dengan 97km pesisiran pantai.

Kami singgah sebentar di Information Centre di San Remo sebelum bertolak ke destinasi yang dirancang, bermula dengan Churchill Island, diikuti oleh Koala Conservation Centre dan seterusnya Penguin Parade menggunakan tiket 3 Parks Pass. Nobbies Park di mana terdapatnya singa laut dan tempat tinjauan pemandangan tidak sempat kami terokai, mungkin di lain kesempatan. Tambahan pula masuknya percuma.

Churchill Island Heritage Farm memaparkan sejarah pendudukan terawal masyarakat Eropah di Victoria semenjak Lt. James Grant mendarat dari kapal Lady Nelson pada tahun 1801. Beliau menamakan pulau kecil ini “Churchill” mengambil nama seorang lelaki yang menberikannya bijian untuk ditanam.

Samuel Amess, bekas datuk bandar Melbourne telah membeli pulau ini pada tahun 1872 dan menjadikannya pulau percutian dan perladangan. Kesan peninggalannya dikekalkan sehingga kini, antaranya rumah Amess, taman, pokok besar penghias laman, kebun, ladang serta konsep kehidupan di zaman tersebut. Terdapat juga haiwan ternakan seperti kuda Clydesdale, lembu tanah tinggi, biri-biri, ayam dan juga itik.

Kami makan tengahari dan solat jamak di taman berhadapan Koala Convention Centre sebelum masuk meninjau koala, haiwan yang dikatakan paling kuat tidur, lebih 20 jam sehari. Pokok gum di mana daunnya menjadi makanan koala memenuhi kawasan. Terasa sakit tengkuk melangut ke atas mengintai kedudukan koala di celah-celah dedahan pokok. Di samping warna koala yang menyerupai batang pokok, koala pula kurang bergerak menyebabkan pencariannya seolah-olah bergantung kepada nasib atau penglihatan yang tajam. Terdapat juga laluan aras pokok (treetop boardwalk) di mana koala lebih senang ditemui tetapi tidak dibenarkan memberi makan atau menyentuhnya.

Menjelang lewat petang, kami bergegas pula ke destinasi terakhir, Penguin Parade untuk melihat keletah Little Penguin naik dari laut di waktu senja menuju sarangnya (sand dune burrow) di daratan. Pengunjungnya amat ramai sekali memenuhi tempat duduk bertangga dengan lampu limpah menyuluh pantai. Para ranjer kelihatan di merata sudut. Tidak dibenarkan mengambil gambar dan pengunjung mestilah diam ketika penguin naik ke pantai. Suasananya amat sejuk sekali, masing-masing lengkap berpakaian tebal seperti musim sejuk.

Penguin mula naik ke pantai ketika cahaya merah matahari hampir lenyap dan malam mulai kelam. Dapat dilihat kelompok demi kelompok penguin berkumpul di gigi air sebelum terkedet-kedet berjalan dalam barisan mengikut kelompok masing-masing menuju daratan. Hampir sejam kami memerhatikan gelagat penguin sebelum beredar keluar. Di tepi laluan kayu yang dilalui, jelas dapat dilihat beberapa ekor penguin masih lagi terkedek-kedek mencari sarangnya.

Teringat akan kemasyhuran penyu bertelur di pantai Rantau Abang, Terengganu di sekitar tahun 1980an dulu. Kini tiada lagi kerana mereka kerap diganggu, akhirnya merajuk mencari pantai baru untuk bertelur. Jika langkah pengawasan yang seumpamanya seperti ke atas penguin diambil pasti generasi sekarang akan masih dapat memerhatikan fenomena menarik tersebut.

Selepas solat jamak di tempat letak kereta, kami terus beredar pulang ke rumah meredah malam nan gelap.

No comments: