Thursday, May 8, 2008

Cuti-cuti Australia - Sydney

Perjalanan hampir 800 km amat meletihkan. Kami melintasi kawasan padang rumput keperangan dan dibawa melencong dek Navigator meredahi ladang tebu serta melalui ladang pisang.

Kami tiba di Sydney dah agak lewat, kira-kira jam 10:00 malam. Terus ke rumah tuan rumah sewa, Katie untuk mengambil kunci apartmentnya, Olympiad Apartment di Burwood, tak jauh dari rumahnya. Rumah sewa 2 bilik tidur + 2 bilik airnya di tingkat 3 siap dilengkapi tilam dan sofa bed untuk 10 orang. Terima kasih Katie.

Kami berada di Sydney selama 3 hari, dari hari Selasa sehingga Khamis.

Hari I : Selasa (01/04/2008)

Selepas solat jamak, kami terus ke Taronga Zoo. Terdapat lebih 2,700 haiwan daripada hampir 400 spesis dari serata dunia dengan habitatnya tersendiri. Terdapat juga haiwan malam dengan persekitarannya yang kelam.

“Menonton” haiwan di zoo bukanlah pelik dan asing tapi ada kelainan di zoo ini. Haiwan di dalam sangkar kaca walaupun merbahaya tetapi boleh dilihat amat dekat kerana mereka tidak nampak “penonton” di luar. Jadi tidak hairanlah ada yang bersantai berdekatan cermin kaca.

Taronga Zoo dibina di dataran mencuram hingga ke laut. Di samping masuk melalui pintu masuk utama, kita juga boleh masuk (atau keluar) dari pintu menghadap laut. Kami berjalan menurun hingga ke tepi laut, seterusnya menaiki kereta kabel kembali ke pintu utama. Sememangnya itu yang dirancang.

Malamnya tidak kemana-mana. Hanya Bat dan Aya yang turun “merayau” di shopping complex bersebelahan apartment.

Hari II : Rabu (02/04/2008)

Hari ini kami ke Darling Harbour. Dari Entertaiment Centre di mana diparkirkan kereta, kami berjalan melintasi Tumbalong Park dan Chinese Garden terus ke Darling Harbour. Pemandangannya amat cantik dengan feri dan bot teroleng-oleng di air. Begitu juga dengan bangunan di sekitarnya seperti Exhibition Centre, Convention Centre, Imax 3D Theatre, Harbourside dan banyak lagi.

Seterusnya kami menaiki feri dari Darling Harbour menuju ke Circular Quay, melewati Harbour Bridge yang unik, Opera House yang bagaikan terapung di air, The Rocks yang mencatatkan sejarah pendudukan awal dan beberapa bangunan yang juga menarik.

Tercapai hajat untuk ke Opera House yang menjadi salah satu ikon terkenal di Sydney. Ianya siap dibina pada tahun 1973 dan kini tersenarai dalam Heritage World. Bentuknya seakan kepala kapal yang berlapis kelihatan amat unik. Terdapat 4 auditorium dengan lebih 2,500 acara teater, drama, muzik dan opera dipersembahkan setiap tahun.

Sempat juga kami singgah untuk berehat dan makan tengahari dengna bekal yang dibawa di Royal Botanical Garden yang terletak bersebelahan Opera House.

Kembali menaiki feri, kami singgah pula di Sydney Aquarium yang menempatkan lebih 11,500 hidupan marin. Akuariumnya terletak di tengah-tengah bangunan dengan persekitaran laut dalam yang amat mempesonakan dengan jerung, pari dan ikan pelbagai warna bebas berenang di celah-celah karang. Terdapat juga paparan persekitaran Great Barrier Reef yang dikatakan terbesar di dunia dan juga terowong sepanjang 160 meter.

Hari ini kami keluar dari Olympiad Apartment. Sepatutnya terus ke kabin sewaan di Golburn tetapi terpaksa batalkan. Masih banyak tempat menarik di Sydney yang masih belum dilawati. ALhamduliLlah, terdapat bilik kosong di Malaysian Hall. Mak, abah, Bat, Aya, Hanisah dan Solehah bermalam di sana. Kami pula bermalam di rumah kenalan Laili, Sdr. Hanafi. Terima kasih Hanafi. Terima kasih Kak Nani di Malaysian Hall.

Hari III : Khamis (03/04/2008)

Paginya kami mengunjungi Sydney Wildlife Centre (bersebelahan Sydney Aquarium) di mana terdapat lebih 6,000 hidupan dominan Australia termasuk serangga, burung, ular dan pepohonan. Malah lipas terbesar di dunia sebesar tapak tangan juga terdapat di sini. Bangunan 3 tingkat ini memaparkan hidupan dalam 9 habitat berbeza dengan lebih 65 exhibit. Haiwannya juga diletakkan di dalam sangkar kaca kalis pandangan dalam. Tidak hairanlah ada ular yang menjalar bebas berdekatan cermin.

Seterusnya kami berjalan menuju ke Market Street di mana terletaknya Sydney Tower yang berketinggian 305 meter. Kami di bawa masuk ke bilik 3D teatre untuk menonton kempen sayangilah persekitaran kita. Kemudian memasuki OzTrek, merasai pengembaraan 3D hologram berserta180 darjah skrin merentasi Australia melalui pantai, sungai, air terjun, pergunungan dan terbang di udara. Satu pengalaman menarik tetapi tidak sesuai kepada yang cepat pening kepala dan tekak meloya.

Setelah berehat seketika, kami menaiki lif menuju Observation Deck. Menarik dan amat cantik sekali bandaraya Sydney dengan panorama 360 darjah. Disediakan juga teropong berkuasa tinggi di setiap sudut untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas. Lebih menarik, terdapat SkyWalk tour di luar menara pada aras 260 meter dengan bayaran tambahan.

Petangnya kami tersesat hampir sejam di tengah bandaraya Sydney yang sibuk. Di kelilingi bangunan pencakar langit, GPS Navigator juga tidak dapat mencari jalan keluar. Setelah berada di pinggir bandar, barulah laluannya dapat dikesan.

Malamnya selepas solat jamak di Malaysian Hall, kami terus bertolak ke Golburn. Kami tiba di Big4 Caravan Park agak lewat, kira-kira jam 10:30 malam. Cuacanya amat sejuk sekali, dijangkakan sekitar 10 darjah Celcius.

No comments: