Monday, May 26, 2008

Cuti-cuti Australia > Naracoorte Caves

Jumaat (25/04/2008) - Petang

Kami tiba di Naracoorte Caves National Park, kira-kira 12 km dari Naracoorte City sekitar jam 03:30 petang. Lokasinya jauh ke dalam dari Riddock Hwy yang kami lalui.

Bersama replika wombat gergasi di hadapan tempat letak kereta

Seimbas pandang di persekitarannya tiada apa-apa yang istimewa. Tiada bukit bukau atau kawasan tanah tinggi yang boleh dikaitkan dengan gua. Yang ada hanyalah tanah rata ditumbuhi pepohonan berserta 2 bangunan yang dijadikan Information Centre dan Café serta replika haiwan megafauna yang telah pupus, wombat gergasi. Rupa-rupanya kesemua gua berada di bawah tanah yakni di bawah tempat letak kereta, jalan raya dan taman yang kami singgahi untuk makan dan solat. Pintu gua pula adalah lubang berserta tangga untuk turun ke bawah. Berlainan sekali daripada kebanyakan gua di negara kita. Bagi abah, Hadi dan Khalil mungkin ianya perkara biasa tetapi bagi kami sekeluarga, ianya adalah pengalaman baru.

Naracoorte Caves National Park yang berkeluasan kira-kira 60 hektar telah disenaraikan dalam World Heritage List pada Disember 1994 bersama-sama dengan Riversleigh di Lawn Hill National Park, Queensland membentuk Australian Fossil Mammals Sites World Heritage Area. Walaupun jarak antara kedua-duanya lebih 2000 km tetapi amat bermakna dalam pembentukan evolusi haiwan di Australia.

Pemandangan di dalam Alexander Cave

Difahamkan Naracoorte Caves inilah satu-satunya kawasan di dunia yang mempunyai rekod kesinambungan fossil melebihi 500,000 tahun. Sehingga kini lebih 100 kawasan penemuan fossil telah dikesan di 26 buah gua dari puluhan gua yang diterokai. Penemuan tulang temulang haiwan yang telahpun pupus seperti wombat bersaiz badak air, kangaroo gergasi, singa marsupial dll menjadikan kawasan ini amat dihargai oleh para pencinta sejarah, ahli sains, arkeologis dan tidak terkecuali mereka yang menghargainya.

Dari puluhan gua tersebut, hanya 4 buah sahaja yang dibuka kepada umum iaitu Victoria Fossil Cave, Bat Cave, Alexander Cave dan Wet Cave. Penerokaan masuk adalah secara berjadual dan berbayar. Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya berkesempatan masuk ke Alexander Cave dan Wet Cave sahaja (2 in 1 pass).

Pemandangan di dalam Wet Cave

Terdapat 3 ruang berasingan di dalam Alexander Cave dengan dekorasi lantai, stalactites, stalagmites dan jejarum kesan aliran air sejak berzaman. SubhanaLlah... amat cantik dan menarik sekali. Pergerakan kami dipandu oleh seorang petugas dengan kawalan lampu mengikut ruang lawatan. Lawatan ke Wet Cave pula secara persendirian tanpa pemandu, mungkin kerana ianya gua yang agak terbuka dan ruang dalaman yang lebih luas. Pemandangan yang tidaklah secantik di Alexander Cave tapi tidak kurang menariknya.

Victoria Fossil Cave letaknya sedikit terkeluar dari kelompok gua di atas, kira-kira 1.5 km jaraknya. Sekiranya ada masa, kunjungan berjadual selama sejam ke gua ini tidak seharusnya dilepaskan. Replika haiwan pra sejarah dan kawasan penemuan fossil adalah tarikan utamanya. Begitu juga dengan kunjungan ke Wonambi Fossil Centre yang terletak di bahagian bawah Information Centre seharusnya dimasukkan dalam senarai wajib kunjungan. Para pengunjung dibawa ke zaman pra sejarah di mana haiwan-haiwan megafauna yang ditemui fossilnya dipamirkan berserta simulasi habitat kehidupannya.
Bat Cave pula menjadi tumpuan lebih 40,000 kelawar Southern Bentwing di setiap musim bunga untuk melahirkan anak. Dengan teknologi terkini tanpa menggangu kelawar, para pengunjung dapat melihat kehidupan semulajadi haiwan ini.

Indahnya pemandangan tika mentari tenggelam
Sekitar jam 05:00 petang, kami bertolak menuju Adelaide melalui Riddoch Hwy sebelum memasuki Dukes Hwy di Keith dan South Eastern Fwy. AlhamduliLlah, kami tiba di rumah sewa Rohana, kawan karib Laili di Cawarinda hampir jam 08:00 malam. Terasa bagaikan balik kampung pula. Terima kasih Ana dan rakan-rakan serumah atas jamuan makan malam yang disediakan. Amat sedap dan menyelerakan. Tambahan pula kami semua pun sedang kelaparan. Dan terima kasih tak terhingga juga pada Yaya dan rakan serumahnya yang menyerahkan apartment sewaan mereka untuk kami menginap selama 2 malam. Syukur atas kurniaanNya.

2 comments:

Anonymous said...

Good post.

Anonymous said...

Does your site have a contact page? I'm having a tough time locating it but, I'd like to
send you an e-mail. I've got some recommendations for your blog you might be interested in hearing. Either way, great site and I look forward to seeing it develop over time.

my homepage ... laser cellulite treatment