Monday, May 12, 2008

Salam Takziah - Cik Usin Meninggal Dunia

InnaliLlahi wainna ilaihi rajiun….Khabar duka diterima petang semalam, Pak Cik Sabaruddin Abdullah (lebih mesra Cik Usin), adik ipar Abah yakni suami kepada Mak Cik Sainah telah kembali ke rahmatuLlah di rumahnya disebabkan sesak nafas kira-kira jam 05:00 petang semalam waktu di Malaysia.

Begitulah ketentuanNya, hidup dan mati adalah pasangan kehidupan, sampai saatnya semua insan akan tiba gilirannya, hanya Dia yang mengetahuinya.

Cik Usin, dari kacamataku adalah seorang yang pendiam dan tak banyak cakap tapi amat cepat mesra orangnya. Seronok apabila dapat berbual dengannya. Banyak cerita dan alkisah yang dapat dikongsi bersama. Dulu tubuhnya agak berisi tetapi semakin susut beberapa bulan sebelum kami datang ke Australia kerana sakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang dihidapinya. Malah dikhabarkan beberapa kali telah ditahan di wad hospital.

Menariknya, menurut abah, Cik Usin pernah tinggal di Darwin, Australia beberapa tahun ketika mudanya, bekerja sebagai penyelam mutiara. Malah sehingga kini ramai keturunan Melayu di Darwin di mana mereka terus menetap di sana selepas berhenti bekerja sebagai penyelam.

Salam Takziah daripada kami sekeluarga berserta Abah, Mak dan Hadi yang masih bersama kami di Melbourne, khusus untuk Mak Cik Sainah sekeluarga. Moga roh Cik Usin dihimpunkan di kalangan hambanya yang solehin. Amiin. Al-Fatihah.

No comments: