

Sepanjang tahun hanya dibuka 20 hari sahaja dan pada tahun ini dibuka mulai 17-Nov hanya pada hujung minggu sahaja sehingga akhir tahun. Selepas itu selama 2 minggu dibuka setiap hari sebelum ditutup pada minggu kedua Januari 2008. Untuk masuk, kami dikenakan bayaran $3.00 seorang (usia lebih 12 tahun) dan harga ceri yang dipetik adalah $9.00/kg.


Perjalanan ke Cherry Haven mengambil masa kira-kira 45 minit dengan jarak hampir 42 km melalui Burwood Rd, Silvan - Monbulk Rd, seterusnya menyusuri Queens Rd hampir 5 km sebelum tiba di ladang ceri tersebut. Membelok masuk aja, kami terpesona melihat pemandangan persekitaran yang amat cantik dengan pepohonan menghijau di cerunan bukit berserta kolam membiru airnya di kaki bukit.
Sewaktu tiba, kelihatan beberapa keluarga begitu asyik sekali bergerak dari satu pokok ke satu pokok dan dari satu barisan ke satu barisan lain sambil mengelek baldi plastik yang dibekalkan sewaktu masuk. Kami sendiri pun terasa tak sabar-sabar lagi lebih-lebih lagi apabila melihat deretan pokok ceri dengan buahnya yang memerah melayuti dahan.


Dari pemerhatian, buah-buah cerinya agak kecil saiznya dari yang biasa ditemui dan tidak semua pokoknya telah masak buahnya. Nampaknya jika masih berminat, kenalah datang di lain ketika. Diakui ada juga yang masih mengguning tetapi rasanya sedap, mungkin ianya dari jenis seumpamanya. Terdapat juga barisan pokok yang rendah dan tiada tanda akan berbuah, agaknya baru ditanam.
Memandangkan buahnya tidak berapa menarik, kami hanya petik sedikit sahaja untuk dibawa balik. Selebihnya kami dah makan sepuasnya di setiap pokok yang kami petik buahnya. Emm, $3.00 bayaran masuk cukup berbaloi kiranya makan terus tetapi $9.00/ kg rasanya agak mahal berbanding harga pasaran yang lebih murah lagi, ada ketika hanya $5.00/kg sahaja. Akan tetapi yang paling bernilai adalah pengalaman memetik buah ceri yang susah untuk dialami, lebih-lebih lagi di tanah air sendiri.
No comments:
Post a Comment