Thursday, November 1, 2007

Beraya di Northern Melbourne

Di laman belakang rumah Yazah di Fawkner, Coburg - foto sumbangan Nizam
Hujung minggu baru-baru ini (Sabtu), kami beraya sakan lagi, memenuhi jemputan balas rumah terbuka warga Malaysia di North Melbourne terutama di Coburg dan Preston. Warga Malaysia di Dandenong diketuai oleh keluarga Aznan dengan disertai sama oleh keluarga Abg Nordin dan Wafir sekeluarga bergerak ke Monash Uni untuk bergabung dengan konvoi warga Malaysia di Clayton yang sedia menunggu di sana. Perjalanan konvoi lebih 15 kereta seterusnya bergerak ke destinasi dengan diketuai oleh Nizam.

Jarak perjalanan agak jauh melalui jalan yang agak sibuk, beberapa kali kereta kami terpisah dari konvoi kerana tersangkut sewaktu lampu merah atau tertinggal sewaktu melintas jalan, terpaksalah mendapat panduan jalan melalui Melway dan telefon dari rakan-rakan lain. Cuaca pula agak panas dengan suhu sekitar 31 darjah Celcius menyebabkan anak-anak kerimasan.
Kaum ibu dan anak-anak di hadapan rumah Ustaz Nushi di Glenroy, Coburg - foto sumbangan Nizam
Rumah pertama dikunjungi adalah rumah Yazah, diikuti rumah Ustaz Nushi, Istas, Rahmat dan rumah Ihsan. Juadah yang dihidangkan amat menyelerakan, antaranya rojak buah, rojak pasembor, nasi dagang, lompat tikam, nasi beriani, mee bandung, mee sop, sotong pulut dan macam-macam lagi. Yang paling menjadi tumpuan adalah air minuman kerana cuaca yang agak panas. Tak disangka-sangka kami dihidangkan dengan cendol dan aiskrim Malaysia yang menjadi rebutan tak kira mak bapak budak apatah lagi anak-anak.

Selepas solat Asar di rumah Ustaz Razak (yang lelaki aja), semuanya beredar pulang tetapi kami mengikut Aznan bersama keluarga Abg Nordin dan Zamzuri meneruskan perjalanan ke rumah Mejar Khairuddin di Laverton. Kami tiba di rumahnya menjelang masuknya waktu Maghrib.

Selepas Maghrib, kami berkunjung pula ke rumah Ahmad, warga Singapura kenalan Zamzuri yang dah 18 tahun menetap di Melbourne. Rumahnya selang beberapa rumah sahaja dari rumah Mejar Khairuddin. Menurut Ahmad, warga Melayu Singapura di Melbourne dah hampir 200 keluarga dan akan terus bermastautin di Australia. Kasihan mereka terpinggir di negara sendiri, terpaksa merantau mencari tapak untuk kehidupan yang lebih selesa, terjamin dan selamat.

Kami beredar pulang tika jam menunjukkan angka 10 dengan penuh kepenatan tapi puas kerana dapat melebarkan ukhwah dan silaturahim sesama Muslim. Anak-anak semuanya dah terlentok lena di sepanjang jalan pulang. Kami tiba di rumah kira-kira jam 10:30 malam.

No comments: