Tuesday, November 13, 2007

Berkunjung ke Dandenong Show

Hujung minggu baru-baru ini (Sabtu – 10/11/2007), kami sempat berkunjung ke Dandenong Show yang berlangsung selama 2 hari, Sabtu dan Ahad dan diadakan di Greaves Reserve, Bennet St, kira-kira 7 km dari rumah. Ianya adalah acara tahunan kali ke -136 anjuran Dandenong Agricultural and Pastoral Society (DAPS) , memberi peluang kepada masyarakatnya membawa keluarga untuk berhibur dan mengenali aktiviti di persekitaran mereka terutama berkaitan dengan pertanian, penternakan dan serta sejarah kehidupan setempat.
Secara umumnya Dandenong Show dapat dibahagikan kepada 3 bahagian. Main Arena yang berkonsepkan funfair dipenuhi dengan pelbagai bentuk permainan seperti Euroslide, Thunderbolt, Dodgem Cars dan macam-macam lagi, tak terkecuali permainan mencuba nasib seperti baling bola dan teka nombor serta rumah hantu. Suasana di persekitaran Main Arena amat membingitkan telinga, lebih-lebih lagi ketika sesuatu permainan meluncur laju atau menongkah angkasa. Anak-anak sempat mencuba permainan Marry Go Round dan sebelum pulang menaiki The Chants (seperti Eye of Malaysia).

Khusyuk mendengar penerangan pemintalan bulu biri-biri menggunakan kaedah tradsional

Bahagian kedua tertumpu kepada pameran barangan kraf dan rekacipta (termasuk robotik dan sulaman) yang terletak di dalam satu dewan besar. Manakala dewan kedua pula menempatkan binatang ternakan terutama biri-biri serta perusahaan yang berkaitan dengannya. Kami ditunjukkan cara mencukur bulu biri-biri serta bagaimana bulu tersebut dipintal menjadi benang menggunakan peralatan tradisional, seterusnya dikait menjadi barangan siap. Antara kedua dewan pula ditempatkan lembu pelbagai jenis dan warna di mana pertandingan lembu terbaik juga diadakan. Malah pelbagai lagi acara menarik berkaitan haiwan diadakan. Sedikit mengecewakan, tarikan utama iaitu kuda (horse & pony) terpaksa dkeluarkan dari acara pertunjukan dikhuatiri merebaknya horse flu/ equine influenza yang menyerang kuda baru-baru ini.

Di Scout Booth, anak-anak berkesempatan menyertai acara melukis di atas beg, mewarna topeng dan layang-layang serta meniti titi gantung. Pertunjukan puppet juga diadakan di bahagian ini.

Bahagian ketiga adalah kawasan jualan barangan. Memandangkan matahari yang agak terik dan musim panas juga tak berapa lama lagi, maka topi menjadi tumpuan kami, antaranya topi Jepun dan topi Koboi.

Umumnya acara pesta seumpamanya mampu menarik ramai pengunjung bukan sahaja untuk berhibur tetapi sebagai tempat rujukan susur galur kehidupan dan kebudayaan yang kurang dipedulikan. Soal hiburan sememangnya tidak boleh dipisahkan malah kiranya tiada funfair diyakini hanya segelintir sahaja yang sanggup menjengahkan diri.

No comments: