Tuesday, November 20, 2007

Ke Healesville Santuary & Magic Garden Roses

Dua hari di hujung minggu baru-baru ini, tanpa perancangan awal, tak disangka-sangka kami berkesempatan berkunjung ke Healesville Sanctuary dan Magic Garden Roses di Healesville, Yarra Valley serta Cherry Haven di Wandin, juga di Yarra Valley (petik ceri dipaparkan dalam entri berikutnya).

Nak dijadikan musababnya, Dr. Norhayati yang baru balik dari Malaysia pada pagi Khamis minggu lepas dengan bengkak di bawah lidah tiba-tiba terpaksa menjalani pembedahan di Box Hill Hospital. Adiknya, Ija dan kakaknya, Kak Mus dari Malaysia berkunjung ke Melbourne. Kesempatan yang ada mereka berhajat mengunjungi di mana ada kangaroo dan jalan-jalan sekadar termampu sementara menunggu waktu melawat pada sebelah petangnya. Kebetulan Dr. Norsiah yang baru tamat sub-speciality course di Monash Uni akan balik ke Malaysia pada minggu hadapan dan ada masa untuk bawa mereka berjalan. Kami juga tidak ketinggalan turut serta kerana ianya sememangnya termasuk dalam senarai tempat yang akan kami kunjungi sepanjang berada di Victoria, khususnya tempat-tempat tarikan pelancung.

Berkunjung ke Healesville Sanctuary

Pagi Sabtu, kira-kira jam 11:00 pagi menaiki 2 buah kereta kami bertolak dari Dandenong ke Healesville melalui Lilydale dan Maroondah Highway, seterusnya masuk ke Badger Creek di mana terletaknya Healesville Sanctuary. Tak sangka pula tempatnya agak jauh, hampir 60 km memakan masa kira-kira sejam perjalanan. Healesville Sanctuary ini pernah dikunjungi oleh Solehah kira-kira sebulan yang lalu bersama rombongan sekolahnya, tak dengar pulak dia mengeluh jauh.

Memasuki kawasan sanctuary kami sedikit teruja melihat habitat haiwan yang menghijau termasuk semak kecil di kiri-kanan laluan denai yang tidak berturap, sesekali melalui laluan jambatan papan yang disusun kemas. Sayangnya pengunjung tidak dibenarkan memberi makan kepada haiwan, dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Haiwan pertama ditemui adalah burung emu, kelihatan berjalan-jalan di celah-celah pokok. Seterusnya kami membelok ke kiri ke kawasan koala. Comel sekali koala yang memeluk dedahan pokok sambil mengunyah dedaunan. Sudah pasti para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar. Kangaroo pula diletakkan di dalam kawasan berpagar dan pengunjung dibenarkan memasukinya setakat kawasan bertali sahaja, agak jauh dari kelompok kangaroo yang sedang bersantai di hujung kandang. Kesian kat Kak Mus dan Ija yang tak dapat menyentuh dan memberi makan sambil bergambar bersama ikon kebanggaan Australia untuk ditunjukkan pada anak-anak.

Seterusnya kami bersua dengan burung Cackatoo, menyusuri “dunia gelap” Platypus, mengintai Wallaby, Echidna dan Wombat yang pemalu serta Tasmanian Devils yang mempunyai wajah yang menakutkan.

Hujan renyai-renyai sesekali lebat mulai turun tetapi penerokaan kami perlu diteruskan juga. Kami masuk ke kawasan Reptilia di mana ular, katak, biawak dan spesis seumpamanya di letakkan di dalam sangkar kaca. Dingo (sejenis anjing) adalah haiwan terakhir yang dilewati tetapi sebelum itu kami lalui dahulu kawasan burung merak (dipanggil Lyrebird bukannya Peacock) dan Kookaburra.

Sebelum bertolak keluar dari Healesville Sanctuary, tidak lengkap kiranya tidak singgah membeli cendera hati di Souvenir Shop sebagai kenang-kenangan. Kira-kira jam 03:00 petang, kami bertolak balik tetapi sempat singgah hampir setengah jam di Magic Garden Roses, kira-kira 3 km dari sanctuary.
Komen : Healesville Sanctuary menyerupai zoo kecil di mana haiwannya dikurung tanpa dibenarkan berinteraksi dengan pengunjung. Jadi tiada banyak keistimewaan dan bezanya dengan zoo yang lebih besar. Kiranya kunjungan sekadar untuk melihat haiwan semata-mata, rasanya lebih baik mengunjungi Zoo Melbourne di mana ianya lebih luas dan haiwannya lebih banyak dan pelbagai, apatah lagi bayaran masuknya sama sahaja ($58.40 untuk family ticket dan $17.30 concession ticket dengan Student Card). Akan tetapi kiranya hanya ingin melihat haiwan-haiwan kebanggaan Australia, inilah tempatnya.
Berkunjung ke Magic Garden Roses

Magic Garden Roses, satu kawasan penanaman, pembiakan dan penjualan bunga ros yang dikatakan terluas di Melbourne, diusahakan oleh Peter dan Trish. Dianggarkan terdapat hampir 1,000 spesis bunga ros dengan warna yang pelbagai ditanam dan dijaga dengan begitu teliti.

Masuk sahaja ke kawasan tersebut (masuk percuma), setiap mata terutama yang meminati bunga ros pasti akan terpegun melihat deretan bunga ros yang ditanam memanjang di atas batas-batas yang tersusun rapi. Warna bunga ros yang bermacam-macam dengan bentuk yang tersendiri berselang seli di antara satu sama lain sememangnya menceriakan kawasan serta memukau pandangan.

Kami tidak melepaskan peluang untuk berjalan menyusuri batas-batas bunga sambil mencium serta yang pasti mengambil gambar dilatari bunga-bunga yang menjadi pilihan. Nursiah, Ija dan Kak Mus kelihatan begitu terpesona sekali sehingga tidak menyedari memori kamera dah sampai ke penghujungnya.

Walaupun tidak membelinya seperti satu keluarga rakyat Malaysia yang kami temui tetapi dapat mencium dan menyentuh kuntuman bunga yang mekar berkembang serta mengabadikan gambarnya sudah cukup memberi kepuasan kepada kami.
Komen : Bagi peminat bunga ros khususnya yang suka menanam, inilah tempatnya di mana banyak pilihan mengikut selera masing-masing. Manakala sekadar suka-suka, tidak rugi meluangkan masa seketika merasai aroma ketenangan dikelilingi bunga-bungaan yang amat cantik mekar berkembang, sekurang-kurangnya untuk dirakamkan sebagai kenang-kenangan.

No comments: