Thursday, November 8, 2007

Lawatan ke Warrock Cattle Farm

Semalam, kami tiga beranak termasuk Imran (abang & kakaknya ke sekolah) berkesempatan mengikuti program lawatan sambil belajar (excursion) ke Warrock Cattle Farm. Program ini dianjurkan oleh komuniti setempat, Dandenong Neighbourhood House yang turut disertai oleh komuniti dari Springvale dan Noble Park. Hampir 150 orang menyertainya dengan menaiki bas dari 3 lokasi berasingan tersebut. Perjalanan dari Dandenong ke Warrock Farm mengambil masa kira-kira 45 minit.

Laili dan Imran duduk di atas hay dalam hayride

Memasuki kawasan ladang, kami sempat melihat burung emu yang berkeliaran di dalam kawasan berpagar rendah, anjing pengawal melepak sederet bersebelahan rumah anjing dan lembu yang sedang bersantai di kandang. Ketibaan kami disambut oleh para petugas ladang yang bertopi koboi yang amat peramah. Agenda pertama, kami dibawa menaiki hayride yang ditarik oleh traktor. Hayride ini dimuatkan dengan hay (rerumput kasar makanan lembu dan kuda yang diikat) dan ianya dijadikan tempat duduk para pengunjung yang menaikinya.
Demonstrasi mencukur bulu biri-biri
Tempat pertama ditujui adalah Shearing House di mana demonstrasi mencukur bulu biri-biri ditunjukkan oleh salah seorang pekerjanya. Menurut beliau, seekor biri-biri dibayar $2.00 dan beliau mampu mencukur antara 200 – 300 ekor sehari. Menghairankan, biri-biri yang dicukur langsung tidak meronta walaupun badannya dipusing ke kiri ke kanan sambil mata cukur menyentuh kulitnya. Kami berpeluang menyentuh badan togel biri-biri yang telah siap dicukur, terasa sedikit berminyak dan berpasir. Sedikit bulu tersebut diambil sebagai kenang-kenangan (dengan kebenaran).

Ada gaya... Imran sedang melibas tali cemeti

Seterusnya kami ditunjukkan demonstrasi bagaimana 2 ekor anjing ditugaskan mengawal pergerakan sekumpulan biri-biri dari terlepas dari kawanan (pack). Selepas itu ditunjukkan cara-cara menggunakan tali cemeti bagi mengawal pergerakan lembu terutama mengarahkanya masuk ke kandang. Tali cemeti ini diangkat ke atas dan dilibaskan kehadapan sehingga menghasilkan bunyi “crack”. Kami tak melepaskan peluang cuba melakukan libasan, malangnya tak menjadi, malah tangan dan badan sendiri pula yang dilibas. Imran juga tidak ketinggalan mencuba melakukan libasan.

Selepas itu kami dibawa masuk ke kawasan kolam yang berpagar. Di sana kami diberi peluang bergerak bebas memberi makan kangaroo, angsa, itik dan ayam yang berkeliaran di sekitarnya. Paling menyeronokkan kangaroonya amat jinak dan mudah sekali menjilat makanan di tangan kami. Imran pun dah makin berani, adakala mengosok-gosok badan kangaroo, tidak seperti semasa melawat Cleeland Wildlife di Adelaide pada akhir tahun lepas. Bersebelahan kolam, Imran dan ibunya sempat bergambar dengan wombat yang diletakkan dalam sangkar serta ayam dan merak yang juga diletakkan dalam sangkar.

Menjelang tengahari, kami dijamukan dengan makan tengahari di Warrock CafĂ©, menunya nasi dan ayam bakar bersekali dengan kentang, kacang peas dan baby carrot. Oh, ya… ayamnya dijamin halal kerana permintaan telah dibuat sebelum lawatan, tambahan pula sebahagian daripada peserta adalah muslim Afghanistan.

Kami amat tertarik dengan persekitaran kafeterianya yang dipenuhi bunga-bungaan dari pelbagai jenis dan warna… amat cantik dan sejuk mata memandang. Umumnya lawatan ini amat menarik dan banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditauladani. Cuma sedikit terkilan kerana tidak berpeluang mendekati lembu (cattle) dan melihat proses-proses yang berkaitan dengannya. Menurut petugas di ladang tersebut, ianya tidak termasuk di dalam pakej yang diambil. Tak apalah, jika ada kesempatan kami boleh berkunjung di lain ketika bersama ahli keluarga yang lain.

Kami bertolak pulang kira-kira jam 2:00 petang. Sepanjang jalan Imran tidur dengan lenanya. Satu pengalaman yang menarik untuknya.

No comments: