Thursday, November 8, 2007

Bersantai di Mother's Beach

Anak-anak bergambar sebelum pulang

06hb. November 2007 adalah hari cuti umum di Victoria sempena Melbourne Cup (pertandingan lumba kuda). Petangnya, atas undangan Dr. Mariana, kami berkunjung ke Mother’s Beach yang terletak di Mornington, kira-kira 40km dari Dandenong. Pantainya amat cantik dan bersih dengan pasir halus yang melandai hingga ke laut. Jeti tersergam indah di gigi air dan perahu layar beroleng-oleng mengikut alunan ombak yang menderu lembut. Rumpai laut (seaweed) pula kelihatan bertompok hitam di sana sini menambahkan lagi seri laut yang kelihatan tenang sekali airnya. Kawanan seagull pula terbang rendah dan ada yang terkedek-kedek menyusur pantai, kelihatan begitu jinak sekali mengejar roti yang dicampak dek pengunjung.

Cuaca petang agak baik dengan suhu sekitar 25 darjah Celcius dan matahari bersinar terang. Walaupun begitu, pengunjungnya tidaklah berapa ramai dan amat selesa untuk bersantai bersama keluarga.

Tiba sahaja di pantai, anak-anak dah tak sabar-sabar lagi terus turun ke gigi air terutama anak-anak Mariana, Fikri dan Fahmi yang telah siap sedia berpakaian mandi. Seterusnya dituruti sama Iddin, Hanisah, Solehah, Imran dan 2 lagi anak Mariana. Mereka berendam dan berkejaran dengan penuh kegembiraan. Penat bermain air, mereka bermain pasir pula. Suara gelak ketawa dan jeritan memeriahkan lagi suasana petang. Laili dan Mariana serta Nora pula rancak berbual berhampiran hamparan. Sesekali kedengaran suara mereka menegur perlakuan anak-anak.

Hampir sejam bermain air dan pasir, masing-masing berkejaran naik, bukan sahaja kerana kesejukan tetapi kerana kelaparan. Semuanya makan penuh selera. Kira-kira jam 06:00 pm, kami pun beredar pulang dan tiba di rumah kira-kira 45 minit selepas itu.

No comments: