Tuesday, December 29, 2009

SA > Perjalanan Ke Hindmarsh Island

Adelaide adalah ibu negeri South Australia. Letaknya antara 800 – 1,200 km dari Melbourne, bergantung kepada laluan yang dilalui samada merentasi laluan tengah ataupun menyusur laluan pantai. Itulah destinasi jalan-jalan makan angin terjauh kami sekeluarga untuk Summer Holiday kali ini. Kami ke Adelaide pada minggu lepas, dari 22/12/2009 – 27/12/2009 (Selasa – Ahad).
Untuk perjalanan kali ini, kami memilih laluan pantai ke Fleurieu Peninsula. Menyinggah selama 2 hari di Hindmarsh Island sebelum bertolak ke Adelaide. Di Adelaide juga 2 hari, seterusnya bermalam di Hamilton sebelum bertolak pulang ke Melbourne pada hari Ahadnya.

Berkunjung ke Adelaide ibarat balik kampung kepada kami. Kali terakhir kami ke sana setahun yang lalu. Rindu untuk berjumpa dengan rakan taulan yang tinggal di sana. Bolehlah dikatakan kunjungan selamat jalan sebelum kami berangkat pulang ke tanah air pada tahun hadapan. Dikhuatiri tiada lagi kesempatan untuk ke sana apabila Laili semakin sibuk dengan penulisan tesisnya.

Kami bertolak dari Dandenong kira-kira jam 10:00 pagi melalui Western Hwy. Melewati waktu tengahari kami berhenti di Sawyer Park, Horsham untuk makan dan bersolat jamak. Taman yang sedikit terpinggir dari jalan utama dengan sungai kecil mengalir. Suasananya tenang sekali, amat sesuai untuk beristirehat.

Berpandukan navigator tanpa peta jalanan, kami seterusnya dibawa melalui Dukes Hwy menuju Meningie. Seterusnya diarahkan melalui laluan tidak bertar melintasi Coorong National Park, kawasan tanah berair (wetland) yang terkenal dengan migrasi ribuan burung setiap tahun sehinggakan dari Siberia, North Asia dan Artik.
Perjalanan sejauh lebih 30km akhirnya terputus di Pelican Point, terpaksalah kami mengundur balik ke Meningie. Hairan juga, bagaimana boleh tersilap jalan kerana pernah melalui laluan pantai ke Victor Harbour setahun yang lalu menggunakan navigator yang sama.

Satu pengajaran dan peringatan kepada kami, usah terlalu bergantung kepada navigator, peta jalanan perlu ada sebagai panduan yang lebih selamat dan cepat. Ada hikmahnya juga, sekurang-kurangnya ‘jauh berjalan luas pemandangan, tersesat jalan tambah pengetahuan’.

Dari Meningie, kami mengambil laluan ke Goolwa, menaiki feri (beroperasi 24 jam sehari) di Wellington merentasi Murray River. Melalui Wellington-Langhorne Creek-Strathalbyn seterusnya ke Goolwa menyaksikan penempatan bersejarah dengan pelbagai reka bentuk bangunan dan rumah lama di kiri kanan jalan.

Kami tiba di bandar Goolwa sekitar jam 9:30 malam. Hindmarsh Island terletak bersebelahannya dengan dihubungi oleh jambatan melengkung di tengahnya. Pencarian rumah tumpangan, Karinga Island Lodge berpandukan alamat yang diberi (Lot 482, Randell Road) sedikit menyulitkan. Apatah lagi dalam kelam malam tanpa lampu jalan. Di sekelilingnya hanya kelihatan pokok-pokok yang berbalam-balam seumpama hutan.
Setelah berkomunikasi dengan empunya rumah, Ms. Gabriele, barulah ditemui jalan masuknya di celah-celah pokok. Rupa-rupanya lot no tidak boleh dijadikan panduan, plate no sebagai gantinya, 022 682.

Rumah kayu 2 tingkatnya kelihatan menarik sekali. Biliknya ada 5 buah; 3 buah di tingkat bawah, selebihnya di tingkat atas. Salah satunya adalah Children Room yang dilengkapi katil, sofa, TV dan soccer game. Seronok sekali anak-anak bermain tanpa disedari malam telahpun semakin larut.
Kami memilih untuk menggunakan bilik-bilik di tingkat bawah. Apa pun kami tetap terpaksa naik ke tingkat atas kerana ruang tamu dan dapurnya terletak di tingkat atas. Penat di jalanan benar-benar melenakan kami sehinggalah dikejutkan keesokan harinya untuk solat Subuh.
Koleksi foto di Fleurieu Peninsula terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

1 comment:

Tini said...

Kena tunjuk dalam blog tengah sembahyang?? Posing ke sembahyang? Yg ambik gambar mesti sembahyang jugak kan? Jadi yg berdiri tegak tu posing saja lah kan?Sebab apa menunjuk? Tak faham! Tak suka betul org Islam yg RIAK mcm ni.