Tuesday, December 1, 2009

Hari Keluarga VMPGA

VMPGA adalah singkatan kepada Victoria Malaysian Post Graduate Association. Persatuan khusus untuk para pelajar pascasiswazah Malaysia (Master dan PhD) serta keluarga mereka di Victoria. Ianya ditubuhkan sejak 3 tahun lalu di mana Presidennya sekarang adalah Prof Madya Ustazah Nur Hidayah, pensyarah UiTM Shah Alam.

Puan Presiden sedang menyampaikan ucapan alu-aluan
Pagi Ahad baru-baru ini, VMPGA berjaya menghimpunkan sebahagian besar ahli keluarganya di Jack Roper Reserve Park, Broadmeadows, hampir 60 km dari Dandenong. Perjumpaan Hari Keluarga terbesar yang julung-julung kali ini, dilangsungkan bersekali dengan Sambutan Eid Adha dengan kerjasama perkumpulan komuniti pelajar setempat, antaranya KgVicNth, Desa Bundoora serta Southeastern Group. Majlis dimulakan dengan ucapan Presiden dan bacaan doa oleh Ustaz Khairul Anuar.

Keadaan cuaca yang tidak menentu; hujan, panas, mendung dan angin bersilih ganti sedikit membimbangkan. Namun kehadirannya amat menggalakkan. Perjumpaan yang amat bermakna dalam usaha mengeratkan sillaturahim sesama warga Malaysia di perantauan terutama di kalangan ahli keluarga baru mahupun rakan kenalan yang telah lama tidak bersua muka.

Makan-makan sambil saling kenal mengenali dan beramah mesra tidak kira orang lama mahupun baru, yang jauh ataupun dekat. Dalam kesibukan ibu bapa berukhwah, anak-anak pula disediakan wadah untuk mereka, acara Sukaneka. Ibu bapa pun turut sama menumpang keseronokannya.

Difahamkan lebih 40 ekor lamb telah dikorbankan. Sebahagian besarnya dibahagi-bahagikan, manakala sebilangannya dijadikan BBQ untuk sambutan Hari Keluarga. Sumbangan rakan-rakan KgVicNth yang amat memberangsangkan. Di samping BBQ lamb, nasi beriani ayam-lamb serta pelbagai pilihan kueh mueh adalah antara hidangan yang menjadi rebutan. Konsep kerjasama dan gotong-royong yang sememangnya telah sebati di jiwa orang Melayu direalisasikan penuh semangat kekeluargaan.

Melewati tengahari, hujan lebat turun secara tiba-tiba, berserta angin yang menderu kencang. Kesemuanya berlindung setempat sambil mendengar ucapan penutup dari penghulu setiap kampung/ group dan bacaan doa.
Tahniah kepada VMPGA dan semua yang terlibat dalam menjayakan program Hari Keluarga ini. Moga ada kesimbungannya. Perkembangan semasa Hari Keluarga ini ada disentuh oleh Puan Presiden di dalam blognya, Sekadar Pendapat Hidayah.

Petangnya ada jemputan Sambutan Eid Adha dari KMIV (Kesatuan Melayu Islam Victoria) di Jells Park tetapi kami mempunyai agenda lain. Bersama Azidah, kami ke Austin Hospital menjenguk Kak Rokiah Daud yang sedang mengikuti sesi rawatan fisioterapi selepas menjalani pembedahan paru-paru beberapa bulan lalu. Kak Kiah, antara warga tua Melayu di Victoria yang menjadi responden untuk program penyelidikan Laili, Healthy Ageing amat rapat dengan Laili. Moga Kak Kiah dikurniakan kekuatan untuk mengharungi setiap dugaan dari Allah. Dan didoakan Kak Kiah cepat sembuh. Ameen.

2 comments:

Umi @ Puan Nurhidayah Hashim said...

SAlam,
Apa khabar? Kak Laili dan Mr Pidi dan anak2, kami satu family ucapkan time kasih atas hadiah dendeng hari tu.. Sedap sangat ler Kak lailie.. Sekarang saya dan Aisyah dah jadi peminat dendeng akak dah ni.. Tiap2 hari bawak bekal roti dan dendeng. hehe.. Jumpa lagi
-Hidayah, Fairuz dan Aisyah, Reservoir

ropidi said...

Salam.
AlhamduliLlah. Terima kasih kembali..8)