Saturday, December 19, 2009

Cuti Akhir Tahun

Hari ini bermulanya cuti persekolahan Penggal Ke-4 di Victoria, Australia. Cuti akhir tahun yang panjang, kira-kira 7 minggu sehinggalah dibuka kembali pada awal Februari, 2010 nanti. Lain-lain negeri di Australia lain pula permulaan cutinya, ada yang lebih awal dan ada yang sedikit lewat. Cuti yang juga dikenali Cuti Musim Panas sempena musim panas yang dialami kini.

Dengan cuti yang panjang, anak-anak akan cepat merasa bosan dan tidak keruan berada di rumah. Di samping melakukan aktiviti mereka sendiri, perancangan perlu juga dibuat agar senggang masa yang ada terpenuh dengan kegiatan yang berfaedah.

Dandenong Library adalah antara tempat yang akan kerap dikunjungi. Anak-anak sememangnya amat minat dengan bahan bacaan dan audio-visual. Tambahan pula kini giat dilancarkan Summer Reading Club dengan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak.

Ada ketikanya mereka akan keluar ke padang sekolah bersama rakan-rakan untuk bermain kriket, bola sepak mahupun sekadar bermain di playground. Aktiviti sihat, sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan mereka dari kepompong computer games yang lebih memenatkan minda.

Sesekali mungkin elok juga dibawa menonton tayangan gambar (filem) terbaru di panggung. Berhibur sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan. Setiap kali cuti persekolahan, sememangnya filem untuk kanak-kanak mula membanjiri panggung. Pilih sahaja mana satu yang ingin ditontoni.

Waktu siang yang panjang di musim panas ini amat sesuai sekali untuk berjalan-jalan mengunjungi lokasi-lokasi menarik tumpuan pelancong terutama di sekitar Melbourne. Insya Allah kami merancang untuk ke cherry farm untuk memetik ceri, menerokai beberapa tempat di Mornington Peninsula, mendekati haiwan buas di Werribee Safari Park dan beberapa tempat lagi.

Insya Allah, beberapa hari lagi kami sekeluarga akan ke Adelaide, South Australia sambil menyinggah di Hamilton dan juga Goolwa. Pergi ke Adelaide ibarat balik kampung bagi kami. Kami pernah tinggal di sana kira-kira 6 bulan pada akhir tahun 2006 dan masih ramai kenalan lama di sana di kalangan masyarakat Melayu. Sepanjang hampir 3 tahun di Melbourne, telah 4 kali kami ke sana. Kali terakhir di penghujung tahun lepas.

Begitulah beberapa perancangan kami untuk cuti persekolahan ini. Diharapkan segalanya berjalan lancar. Moga-moga. Ameen.

No comments: