Sunday, December 20, 2009

Memetik Ceri di Bukit Merah

Cherry picking. Itulah perjalanan makan angin kami yang pertama sempena cuti sekolah yang baru bermula. Destinasi kami tahun ini adalah Ladang Ceri Bukit Merah (Red Hill Cherry Farm) di Red Hill, Mornington Peninsula kira-kira 60 km dari Dandenong. Bersama kami adalah Dr Zaiton berserta 2 anak gadisnya yang baru tiba dari Sandakan dan iparnya. Turut serta Dr. Faizal-Dr. Rahana sekeluarga yang bertemu janji jumpa di ladang ceri.
Koleksi foto ada di Album Foto Kami atau klik di sini.

Pada pagi Sabtu (19/12/2009), kami bertolak dari rumah kira-kira jam 10:00 pagi dan tiba di ladang sejam selepasnya. Terdapat beberapa ladang ceri di sekitarnya. Menariknya, kesemua ladang diselubungi jaring besar yang disangga besi untuk mengelakkan serangan serangga. Pemandangan yang berbeza dari ladang ceri di Dandenong Ranges yang terbuka.

Red Hill Cherry Farm kelihatan luas tapi hanya sebahagian sahaja dibuka untuk aktiviti U Pick. Bayaran masuknya mahal sedikit, $10 untuk dewasa dan $5 untuk kanak-kanak 10 tahun ke atas. Bernasib baik anak-anak semua masuk percuma. Harga sekilogram juga mahal, $12 berbanding harga di Dandenong Market antara $5 - $10/ kg. Tidak mengapalah, asalkan dapat merasai pengalaman memetik ceri terus dari pokok sambil makan sepuas-puasnya. Namun buahnya tidak banyak lagi yang tinggal kerana musim memetiknya telah lama bermula, sejak awal bulan lepas lagi.

Keadaan cuaca pada hari tersebut tidak menentu. Di jalanan lagi hujan dan panas berselang seli. Begitu juga ketika di ladang. Adakala hujannya lebat hingga terpaksa berlindung di bawah pokok ceri tapi hanya sekejap sahaja. Langsung tidak menganggu aktiviti memetik buahnya.

Para pengunjung ladang ramai juga, majoritinya berketurunan Cina. Para petugas ladang pula kelihatan mundar-mandir di sana-sini sambil menegur dan menunjuk ajar kaedah yang betul memetik ceri tanpa merosakkan pokok dan buahnya – disarankan hanya buah berwarna gelap (masak) sahaja dipetik dengan menolak tampuk tangkainya ke atas. Adakala geram juga di hati melihat kanak-kanak merentap buahnya sesuka hati. Buah ceri yang tidak diperlukan pula bertaburan di bawah pokok. Betul-betul membazir.

Anak-anak tampak seronok sekali memetik ceri sambil memakannya. Jika tidak berhati-hati boleh mengakibatkan pakaian, tangan dan muka comot terkena air buah yang berwarna merah gelap. Seronoknya anak-anak hanya seketika, selepas itu terus meminggir ke tepi sambil bermain sesama mereka.

Melewati waktu tengahari kami sekeluarga beredar pulang selepas membeli biskut dan kek di kedai makanan ladang, Red Hill Kitchen. Dr Zaiton sekeluarga pula melencong ke tempat lain, meninjau tempat-tempat menarik di Mornington Peninsula. Kami tidak dapat menyertai mereka kerana Izzuddin ada klinik bola sepak dan kriket di sebelah petangnya.

No comments: