Friday, December 4, 2009

Aduhai... Mengantuknya

Disember… bermulanya musim panas di Australia terutama di selatan benua terkecil ini termasuklah Victoria. Namun panasnya telahpun dirasai sejak sebulan lalu. Pernah suhunya mencecah hampir 37 darjah Celcius. Diramalkan kepanasan pada tahun ini lebih berbahang daripada musim panas nan lalu yang mencatatkan bacaan suhu sehingga 48 darjah Celcius.

Ketibaan musim panas menandakan jarak masa siangnya lebih lama daripada malamnya, kontra kepada musim sejuk. Kini matahari terbit sekitar jam 5:45 pagi, manakala terbenamnya pula kira-kira jam 8:30 malam. Waktu siangnya dalam 15 jam dan malamnya 9 jam.

Dalam keadaan siang yang panjang, memberi masa yang lebih untuk melakukan aktiviti-aktiviti siangnya. Keaktifan di siang hari menyebabkan malamnya cepat sekali terasa mengantuk. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak, seharian memerah tenaga dan minda di sekolah. Apatah lagi dalam suasana cuaca yang panas, penatnya amat dirasai.

Selepas solat Maghrib dan membaca Al Quran, mata pun mula layu dan kuyu. Menunggu masuknya Isyak sekitar jam 10:15 malam terasa amat berat sekali. Adakalanya dapat bertahan, namun kerap kali terlelap di sejadah ataupun di sofa. Terpaksalah dikejutkan untuk bangun mengerjakan solat Isyak ataupun bangun sendiri di tengah malam atau awal pagi sebelum terbitnya fajar Sadiq.

Izzuddin dan Solehah terlena di sejadah selepas mengaji Quran
Masuknya waktu solat Subuh kira-kira jam 4:00 pagi. Untuk bangun awal pagi menyentuh air seakan satu penyiksaan. Tambahan pula tidur pun belum terasa puasnya lagi. Hanya kekuatan iman menjadi perangsangnya. Selepas solat Subuh berjemaah biasanya masing-masing kembali semula ke katil. Menyambung nikmatnya tidur sehinggalah jam 7:00 pagi, bersiap diri untuk ke dapur, ke bilik air dan seterusnya ke sekolah.

Begitulah dugaannya di musim panas di perantauan, terlebih bagi seorang Muslim. Kewajiban bersolat tidak mengenal tempat dan suasana. Segalanya bergantung kepada diri sendiri terutama bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak melaksanakan suruhan Allah. Letih, mengantuk dan belas kasihan ada batasannya, bak kata peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Maksudnya, jika sudah menjadi buluh amat susah untuk dibentuk, silap-silap patah jadinya.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

3 comments:

Anonymous said...

Salaam En Ropidi, harap dapat buat pembetulan pada n3 'Eid Adha di Dandenong' pada 27nov,2009.
Tahun ini bukan haji akbar kerana hari wukuf ialah hari khamis, 9 zulhijjah. Hari Raya Haji ialah hari jumaat, 10 zulhijjah. Kalau wukuf hari jumaat barulah dapat haji akbar kerana haji itu ialah wukuf. Tiada wukuf, tiada haji.Saya rasa ramai yang masih keliru tentang wukuf dan hari raya haji.
Kak Wanmalaya

ropidi said...

Salam,

Berbanyak terima kasih Kak Wan... Saya dapat ilmu baru walaupun sedikit. Besar pahalanya. Moga diberkati Allah. Ameen.

Tanpa disedari saya terkeliru. Harap-harap penjenguk lain dapat memaafkan saya. Terima kasih.

Umi @ Puan Nurhidayah Hashim said...

Salam, tahniah pada Solehah dan kakak dan abang sebab mampu bangun pagi solat Subuh. Aisyah masih merangkak-rangkak, kadang-kadang bangun awal, kadang-kadang ak dapat bangun... Kena belajar dari semangat Solehah adik beradik ni..

Dari Aisyah dan keluarga, Reservoir