Wednesday, December 16, 2009

Izzuddin : DHS Awards Night 2009

Pagi Isnin, kami menghadiri End of Year Party di sekolah Imran, Dandenong North East Kindergarten (DNEK). Di sebelah petangnya, selesai solat Asar kami sekeluarga bergegas pula ke Monash University di Clayton. Bertempat di Robert Blackwood Concert Hall dilangsungkan The Dandenong High School Awards Night 2009. Izzuddin adalah antara yang bakal menerima anugerah kecemerlangan.

Para penerima anugerah mula mendaftar di dewan seawal jam 6:00 petang. Sementara menunggu majlis bermula jam 7:00 malam, kami berjalan-jalan di sekitar kampus. Kehijauan pepohonan berserta aliran air di taman-taman kecilnya melahirkan rasa tenang di jiwa. Kepelbagaian rekabentuk bangunan di sekitarnya tampak ceria sekali.
Kami singgah seketika meninjau Religious Centre yang mempunyai bilik-bilik ibadat khusus mengikut kepercayaan agama masing-masing. Termasuklah 2 bilik solat untuk lelaki dan perempuan berserta tandas dan tempat berwuduk. Menarik sekali.

Di dalam dewan, hampir setiap tempat duduknya penuh. Para guru, pentadbir sekolah, tetamu khas dan para pelajar diletakkan di bahagian hadapan. Diikuti pula ahli keluarga di bahagian belakang. Tempat duduk kami agak terkebelakang, jauh dari pentas utama. Tidak jelas untuk mengambil foto dari jarak jauh dengan kamera point n shoot, tambahan pula dalam suasana kelam lampu tempat duduk dipadamkan.

Para pelajar tahun akhir, Year 12 pula diletakkan di mezzanine floor. Riuh rendah suara mereka setiap kali rakan-rakan mereka terutama di kalangan Year 12 naik ke pentas menerima anugerah atau membuat persembahan. Apa nak kata, mungkin seronok kerana alam persekolahan mereka telah pun berakhir.

Susunan anugerah bermula dengan para pelajar Year 7, meningkat naik hinggalah Year 12. Anugerah utamanya Dux Award adalah untuk pelajar terbaik setiap Year, diikuti Academic Excellence Awards untuk 10% pelajar terbaik dan Domain Awards untuk pelajar terbaik mengikuti subjek.
Turut sama dilangsungkan penganugerahan khas, Special Category Awards; antaranya Monash Prize, National Servicemen’s Association Award, Caroline Chisholm Education Scholarship dan pelbagai lagi khusus untuk pelajar terpilih. Termasuk juga Sports Awards bagi pelajar yang mengharumkan nama sekolah dalam acara sukan di peringkat negeri/ negara.

TAHNIAH kepada Izzuddin yang memenangi 2 anugerah; Academic Excellent dan Domain Award (ESL – English as a Second Language). Juga untuk Syairah Lajiman yang turut mendapat 2 anugerah; Academic Excellent dan Domain Award (Mathematics). Tidak terkecuali Insyirah Wafir yang mendapat anugerah Domain Award (Design Creativity & Technology). Moga ianya menjadi perangsang kepada adik-adik yang lain terutama Hanisah yang akan melangkah ke Year 7 pada tahun hadapan di sekolah yang sama.

Melewati jam 9:00 malam, kami sekeluarga mula bergerak keluar mencari tempat untuk mengerjakan solat Maghrib. AlhamduliLlah, Religious Centre masih dibuka. Terlaksana sudah kewajiban kepadaNya tanpa perlu terkejar-kejar ke sana sini.

Ketika itu para pelajar Year 12 sedang berbaris panjang di sebelah kiri dewan, turun menuju pentas utama untuk menerima sijil tamat persekolahan mereka di DHS. Masing-masing berpakaian mengikut citarasa tersendiri. Tiada lagi pakaian sekolah. Mereka telah bertukar status dari remaja kepada orang muda. Mula menempuh dugaan yang lebih mencabar, lepas bebas menentukan masa depan sendiri. Itulah realiti kehidupan masyarakat moden Australia masa kini.

No comments: