Tuesday, December 29, 2009

SA > Di Goolwa

Suasana pagi Rabu (23/12/2009) terasa begitu menyegarkan. Pemandangan di luar rumah tenang sekali. Menyedut udara pagi dari beranda di tingkat atas, menghadap kehijauan pepohonan dan bungaan di laman hadapan benar-benar mendamaikan hati. Teringat akan suasana kampung di Kuala Terengganu dan juga di Sepang.
Cuaca pada hari ini agak panas, sekitar 42 darjah Celcius. Misi kami di sebelah pagi adalah cockling (mencari kepah) di Goolwa Beach menghadap Southern Ocean. Itulah antara sebab utama kami menyinggah di Fleurieu Peninsula, mengimbas nostalgia lama di Goolwa.

Kami keluar dari rumah menjelang tengahari. Goolwa Beach hanya sekitar 5 km sahaja jaraknya. Kelihatan ramai sekali para pengunjungnya, masing-masing dengan surfing board. Sememangnya Goolwa Beach antara tumpuan utama penggemar surfing.

Panasnya udara persekitaran membuatkan kulit terasa perit. AlhamduliLlah, krim sun block yang disapu dapat mengelakkan kekeringan melampau. Debu pasir berterbangan ditiup angin tanpa henti ada ketikanya memedihkan mata. Air lautnya amat masin, kepingan putih air garam melekat di kulit apabila kering.

Berbekalkan baldi dan bakul jarang, kami sekeluarga turun ke laut. Pasir dikorek dengan tangan, terasa ketulan-ketulan licin. Adakala terasa lembut isinya yang menjulur keluar. Itulah kepah.
Bersama ombak yang menghempas pantai, seterusnya air laut surut kembali ke laut, kelihatan jelas kepah bergolek-golek turut sama menyusut turun atau tenggelam ditimbusi pasir. Berkejar-kejaran anak-anak mengejarnya. Kerapkali hempasan ombak kuat mendorong kami ke arah pantai. Keseronokan tanpa menghiraukan kepenatan dan kesejukan air laut. Dari kebanyakan pengunjung pantai, hanya beberapa kerat sahaja yang asyik dengan aktiviti seumpamanya.

Kepahnya amat banyak sekali. Namun mengecewakan kerana saiznya kecil sedikit dari yang biasa kami perolehi dahulu. Jika sebelum ini saiz sepertinya kami buang kembali ke laut tetapi kali ini terpaksa kami ambil juga. Tiada pilihan. Jika tidak kempunanlah jawabnya.

Hampir 3 jam berendam air laut tidak terasa lamanya. Semuanya ghairah mengutip kepah. Tidak disedari hampir 2 baldi dapat dikutip. Sebelum dimasak, direndamkan dahulu dengan air laut semalaman untuk mengeluarkan pasir di dalamnya. Rasanya manis sekali. Sedap dimakan walaupun sedikit berpasir. Solehah antara penggemar utamanya.
Koleksi foto dapat dilihat di Album Foto Kami (Fleurieu Peninsula) atau klik di sini.

Di sebelah petangnya kami keluar ke bandar Goolwa. Bermula dengan Tourist Information Centre, kami menerokai kawasan sekitarnya.
Hampir setiap pelusuk terdapat bangunan-bangunan bersejarah; antaranya Goolwa RSL, Railway Superintendent’s Cottage, Railway Station, Post and Telegraph Office, Goolwa Wharf, Signal Point, Hindmarsh Bridge, Australian Hotel, Corio Hotel, Goolwa Hospital, Custom House, Council Chamber dan Former Bank of SA.

Malamnya, selepas makan dan solat jamak, kami terus masuk tidur. Semuanya kepenatan. Ahh... leganya dapat merebahkan tubuh ke katil. Sekejap sahaja masing-masing terlena diiringi suara cengkerik bersahutan membelah kegelapan.

No comments: