Sunday, December 13, 2009

Kunjungan SE Group ke Bundoora

Semalam, kami ke Bundoora lagi. Kunjungan berkumpulan kali kedua. Kali pertama kami ke sana pada awal tahun lalu bersama beberapa rakan Dandy Group. Turut dilangsungkan perlawanan futsal untuk anak-anak dan juga dewasa bertempat di LaTrobe University Sport Centre. Seterusnya dijamukan dengan makan tengahari dan bersolat Zohor di rumah Sdr Shaharuddin USIM (Cik Din).

Belum sempat diaturkan kunjungan balas ke Dandenong, kami dijemput lagi ke Bundoora. Cuma kali ini lebih meluas penyertaannya meliputi South Eastern (SE) Group. Bukan sahaja Dandenong tetapi termasuk sama Clayton, Springvale dan Noble Park. Penyertaan yang lebih ramai, lebih terasa kemeriahannya. Pemangkinnya, perlawanan persahabatan bolasepak kategori anak-anak dan dewasa serta perlawanan bola jaring untuk kaum wanita.

Permainan dijadualkan berlangsung bermula jam 4:30 petang bertempat di padang Merriland College, Reservoir. Alang-alang dah ke sana, kami sekeluarga bersama Lajiman-Suraya sekeluarga serta Dr. Zaiton bertolak lebih awal, sekitar jam 11:00 pagi. Kami menyinggah di rumah Cik Din, dijamunya dengan makan tengahari. Terima kasih. Juga ke rumah Sdr Salehuddin (Din Hogan), memenuhi jemputannya yang telah berkali-kali dipintanya.

Di padang, perlawanan pertama adalah untuk kanak-kanak. Gandingan buat pertama kali untuk anak-anak SE Group. Ramai yang berbakat tetapi masih belum sepakat. Perlu digilapkan dengan latihan yang lebih teratur. Mereka kalah tipis tetapi kesungguhan yang ditunjukkan sewajarnya dipuji.

Diikuti pula dengan perlawanan bolasepak untuk lelaki dewasa dan juga perlawanan bola jaring untuk kaum wanita yang dilangsungkan serentak. Sedikit menyukarkan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Bernasib baik ada ramai pengasuh dan penjaga yang dapat menyumbangkan bakti. Dapatlah ibu bapa bermain dengan selesa.

Permainan kedua-duanya rancak sekali. Saling serang menyerang memburu gol. Bagi lelaki, mereka telahpun biasa dengan rutin latihan setiap minggu. Permainan mereka lincah sekali dengan larian bagaikan lipas kudung dan tendangan bagaikan peluru. Namun kudrat muda tuan rumah lebih bertenaga berbanding rakan-rakan SE yang lebih berusia. Seperti pasukan anak-anak, mereka juga kalah tipis.

Sama juga nasibnya dengan kaum wanita SE di lapangan bola jaring. Di samping ramai pemainnya di kalangan kaum ibu, mereka tidak pernah turun berlatih secara berkala seperti kaum bapa. Hanya latihan intensif seminggu sebelum perlawanan. Itupun sukar untuk mencukupkan pemain. Apa pun tahniah untuk mereka. Moga ianya menjadi permulaan untuk terus aktif turun berlatih.

Kalah atau menang mahupun seri adalah adat permainan, bergantung kepada interpretasi masing-masing. Yang penting adalah ukhwah yang terjalin. Nilai persahabatan dan persaudaraan sewajarnya terus dipupuk, terus mekar selamanya. Berkawan biar seribu, bermusuh usah diseru.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada yang berusaha mereliasasikan pertemuan tersebut terutama kepada Jai Othman (Desa Bundoora) serta Hanif (SE Group). Kini menunggu masa pula untuk mengaturkan kunjungan balas rakan-rakan Desa Bundoora ke daerah kami pula.

Sehabis perlawanan, masing-masing bergegas menghadap juadah yang disediakan tuan rumah. Lapar sekali nampaknya mereka...8) Habis licin kesemuanya. AlhamduliLlah mudah untuk diuruskan.

Sebelum bergerak pulang, ramai yang menyinggah di rumah rakan kenalan Desa Bundoora, menjalin silaturahim yang lebih intim. Kami sekeluarga hanya singgah sekejap di rumah Nazura untuk bersolat Asar sebelum bertolak pulang ke Dandenong melalui laluan bertol, Eastlink. AlhamduliLlah kami selamat tiba di rumah tika matahari baru sahaja terbenam di ufuk barat.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

No comments: