Tuesday, December 8, 2009

Izzuddin : Surf Camp

Muhammad Izzuddin, anak sulung kami amat menggemari kegiatan sukan. Banyak jenis sukan telah dicubanya dan sentiasa berusaha mendalaminya; antaranya kriket, Australian football (footy), bola sepak (soccer), allrounders, renang, tenis dan juga tae kwon do.
Pada minggu lepas selama 4 hari Iddin mengikuti Surf Camp yang dianjurkan oleh sekolahnya, Dandenong High School di Phillip Island. Pengalaman baru bagi Iddin; mempelajari surfing di laut.

Bimbang dan risau juga untuk membenarkan Iddin pergi. Kesemua pesertanya adalah non-Muslim yang kurang atau langsung tidak memahami Islam. Apatah lagi budaya hidup mereka jauh berbeza.
Bimbang samada solatnya terjaga atau tidak. Risau tentang soal halal haram dalam pemakanan. Namun keinginan Iddin amat tinggi untuk turut serta. Kasihan pula. Berkali-kali diperingatkan agar solat 5 waktunya jangan ditinggal dan makanannya dijaga. Malah guru pengiring program pun turut dimaklumkan akan keperluan Iddin melaksanakan amalan Islamnya.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. SMS yang dikirim semasa program amat melegakan hati. Solat dan makanannya terjamin. Untuk solat siang dan malam, gurunya menyediakan ruang di dalam kabin gurunya sendiri untuk bersolat. Manakala solat Subuh pula dilakukan di suatu sudut bersebelahan kabin yang didudukinya. Makanannya pula fish & chips dan juga seafood. Setinggi-tinggi penghargaan kepada gurunya yang amat memahami.

Begitulah sikap toleransi yang ditunjukkan mereka jika kita menyatakannya secara baik. Bukannya permintaan yang besar tetapi kecil sahaja. Bukannya susah untuk dipenuhi tetapi mudah sahaja. Yang penting usah didiamkan, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan sesuatu kewajiban kepada Allah SWT. Insya Allah akan dipermudahkan olehNya.

Di samping belajar surfing, para pelajar juga dibawa mengunjungi beberapa tempat menarik di Phillip Island; antaranya Pelican feeding di San Remo, Penguin Parade, Nobbies, Amaze ‘n’ Things dan menyusuri pantai. Terdapat juga beberapa aktiviti berkumpulan dalam membentuk semangat berpasukan.

Diharapkan banyak pengalaman hidup yang dapat dipelajari oleh Iddin dari Surf Camp tersebut. Secara langsung dan juga tidak langsung. Yang tersurat mahupun tersirat. Moga-moga.

1 comment:

Anonymous said...

Org otak mcm ni, elok dok malaysia aja,jgn keluar. Rosak nama Msian kt Australia aja!