Tuesday, December 15, 2009

Imran : End of Year Party

Minggu ini adalah minggu terakhir persekolahan Penggal Ke-4 di Victoria. Hampir setiap sekolah sibuk mengadakan pelbagai majlis sambutan. Tidak kira kindergarten mahupun sekolah rendah. Apatah lagi sekolah menengah.

Semalam adalah hari terakhir persekolahan Imran di Dandenong North East Kindergarten (DNEK). Untuk meraikan para pelajar serta ibu bapa, pihak sekolah telah mengadakan majlis ringkas, End of Year Party.

Majlis dimulakan dengan persembahan pantomen tentang kelahiran Nabi Isa (a.s) yang dilakonkan oleh para pelajar sendiri. Penceritaannya dengan diselangi lagu-lagu disampaikan oleh guru utama DNEK, Mrs Powney dengan dibantu oleh Mrs Beck dan Ms Darry. Imran diberi watak pengembala kambing bersama beberapa orang rakannya, berkerumun mengelilingi unggun api.
Walaupun pantomennya berkaitan dengan kelahiran Nabi Isa (a.s) mengikut kepercayaan agama Kristian, umumnya tiada kelihatan unsur-unsur keagamaan diselitkan. Langkah yang bijak memandangkan ramai di antara para pelajarnya beragama Islam.

Di samping itu diadakan juga beberapa permainan lagi untuk pelajar di luar kelas. Seterusnya mereka dijamukan dengan hidangan pot luck yang dibawa oleh ibu bapa. Untuk pelajar Muslim, dikhaskan satu meja khusus untuk mereka dengan makanan halal. Laili sibuk ke sana-sini memastikan setiap hidangan adalah halal.

Imran malu-malu dalam dakapan Mrs Beck (kiri) dan Mrs Powney (kanan)
Majlis penyampaian hadiah diadakan secara ringkas, sebahagiannya hasil tangan pelajar sendiri. Menarik sekali lukisan yang dilukis oleh Imran; luahan imaginasi, memori dan kreativitinya. Itulah antara aktiviti yang ditekankan di peringkat kindergarten di sini. Bukannya kepandaian membaca mahupun mengira seumpama di tanah air.

Sebelum berpisah, sempat Imran berjumpa dengan Mrs Powney dan Mrs Beck, guru-guru yang amat baik dan penyayang. Dipeluk dan dicium penuh mesra.

Thanks Mrs Powney. Thanks Mrs Beck. Bye-bye Dandenong North East Kindergarten.

No comments: