Dari kejauhan dapat dilihat alunan ombak menghempas pantai. Melewati muara sungai pula, airnya tenang sekali. Dua fenomena yang berbeza. Pemandangan sekitarnya amat cantik, memukau pandangan. Itulah keagungan ciptaan Allah.
Singgahan kami adalah di Kleinigs Hill Lookout yang terletak menghadap Granite Island di Victor Harbour. Lukisan mural yang melatari pelantarnya amat menarik, mengisahkan kehidupan warga pribumi, Aborigines. Menggunakan teropong jarak jauh yang disediakan, jelas dapat dilihat pemandangan pulau dan jambatan penghubung serta horse tram melintasinya. Kami tidak berkunjung ke Victor Harbour kerana pernah ke sana pada kunjungan kami ke Adelaide pada akhir tahun lepas. Bagi yang ingin mengetahui pengalaman kami di Victor Harbour, boleh selusuri entri terdahulu. Koleksi foto di Murray Mouth dan Port Elliot dapat diakses di Album Foto Kami (Fleurieu Peninsula) atau klik di sini.
Di Beerenberg Farm pula, kami membeli mini bottle fruit jam sebagai buah tangan kembali ke Melbourne. Sebagai makluman, Beerenberg tiada kaitan dengan beer (seperti Carlsberg) - ianya adalah nama pengusahanya yang berketurunan Jerman. Bersebelahan kedainya adalah ladang strawberi yang luas, dibuka kepada pengunjung untuk memetiknya. Bukan itu tujuan kami ke Beerenberg Farm kerana telahpun pernah mengalaminya sebelum ini.
Hampir sejam di Mt. Lofty, kami terus menuju ke Adelaide. Memasuki Adelaide terasa kelainan atmosferanya. Kesibukan Melbourne hilang berganti ketenangan Adelaide. Had laju kenderaannya hanya 60 km/jam. Kenangan lama datang bersilih ganti. Terubat rasa rindu yang terpendam selama ini. Sebahagian foto di Hahndorf, Beerenberg Farm dan Mt. Lofty terdapat di Album Foto Kami (Adelaide) atau klik di sini.
No comments:
Post a Comment