Friday, January 1, 2010

SA > Silaturrahim Di Adelaide

Apabila tiba di Adelaide, soal makan-minum dan tempat menginap tiada masalahnya. Ada sahaja rakan taulan yang sudi menjemput. AlhamduliLlah. Silaturrahim yang sekian lama terjalin terus mekar walaupun telah lama tidak bersua muka. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga untuk semua. Moga kalian sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.
Sebahagian foto di Adelaide terdapat di Album Foto Kami (Adelaide) atau klik di sini.

Setibanya di Adelaide pada petang Khamis (24/12/2009), kami terus ke Brooklyn Park, dijemput makan oleh Nurul Aini (pensyarah USIM). Nurul telahpun tamat pengajian PhD-nya dan datang ke Adelaide bersama ibunya untuk menghadiri majlis konvokesyen. Tahniah Dr. Nurul, perjuangan getir selama ini telah pun membuahkan kejayaan.

Malamnya kami bermalam di rumah Syidee-Salina di Prospect. Rakan lama yang amat banyak jasanya ketika kami tiba di Adelaide di pertengahan tahun 2006 dahulu. Insya Allah mereka akan pulang ke tanah air pada bulan Februari, 2010 nanti. Salina adalah pensyarah UDM (dahulunya KUSTEM). Moga berjaya hendaknya mengapai ijazah PhD. Ameen.

Seronok sekali Imran dapat berjumpa dan bermain dengan rakan sebayanya, Akil. Katanya, sleepover di rumah Akil (tetapi masa tidur masih dengan ibunya..8).

Keesokan harinya (Jumaat, 25/12/2009), kami makan tengahari di rumah Syidee-Salina. Turut serta keluarga Nurul, Jabar dan Syukran.
Solat Jumaatnya pula di Masjid Al-Khalil, masjid terbesar di Adelaide yang tersergam indah di Torrens Rd, Woodville North. Berkebetulan pula dengan cuti Hari Krismas. Jemaahnya penuh. Anak kecil pun turut sama dibawa. Terjadi peristiwa seorang anak kecil menangis kuat sepanjang solat dikerjakan. Benar-benar menganggu semua. Seusai solat, imam terus menegur keras, disokong pula oleh para jemaah lain. Teguran yang sewajarnya diambil perhatian oleh semua jemaah.

Di sebelah petangnya kami ke rumah Nita (pensyarah Biomarine dari UiTM Perlis) di Flinders University. Bersua juga dengan Zatul. Kedua-duanya baru sahaja pulang bercuti dari Melbourne. Shopping sakan nampaknya...8). Insya Allah tahun hadapan segulung PhD dalam genggaman. Ameen.

Seterusnya bergegas pula kami ke rumah Jabar-Fadilah di Unley Rd, memenuhi jemputan makan malam. Mereka berdua sama seperti pasangan Syidee-Salina yang amat banyak jasanya kepada kami. Bersusah payah mereka membantu terutama ketika mula tiba di Adelaide. Tahniah untuk mereka yang baru menerima kehadiran ‘ahli keluarga baru’, anak kedua mereka Adam Aiman. Insya Allah, Fadilah akan menamatkan pengajian PhD-nya di pertengahan tahun hadapan. Moga dikurniakan kekuatan. Ameen.

Lewat petangnya, kami ke rumah Pak Uka-Kak Ros pula, warga Indonesia yang telah lama bermastautin di Adelaide. Pak Uka baru sebulan berhenti kerja. Manakala Kak Ros pula kini sibuk dengan tugasan barunya di kindergarten. Seronok dapat berjumpa dengan orang lama yang sudah dianggap bagaikan keluarga sendiri. Hampir jam 12:00 tengah malam baru kami beredar dari rumah mereka. Anak-anak pula telahpun terlelap di sofa di ruang tamu.

Malamnya kami masih lagi bermalam di rumah Syidee-Salina. Hajat hati ingin ke rumah Dr. Pudin-Dr. Wati di Mt. Barker tetapi tidak berkesempatan. Keesokan harinya baru diketahui, rupa-rupanya mereka tiada di rumah kerana sedang bercuti di Yoke Peninsula. Perjalanan kami ke Hamilton diteruskan tanpa menyinggah di rumah mereka.

Terlepas juga hajat untuk berjumpa Dr. Jali-Dr. Nita. Mereka berdua ke Mekah mengerjakan fardhu haji dan kini mungkin berada di tanah air. Moga dianugerahi haji mabrur. Malah ramai lagi rakan-rakan yang tidak sempat ditemui. Terkilan juga di hati tapi apakan daya...
Terlepas juga peluang untuk mengikuti rakan-rakan menangkap ketam (crabbing), aktiviti musim panas yang amat digemari terutamanya oleh anak Malaysia di sekitar Adelaide. Tak mengapalah, asalkan dapat 'menangkap ukhwah' sesama kenalan lama.
Beredar dari rumah Syidee-Salina, kami dibekalkan dengan pelbagai buah tangan termasuklah keropok goreng, kopi asli 'Cik Yok' dan budu Cap Ketereh. Terima kasih daun keladi. Terasa bagaikan berada di kampung halaman di Terengganu, dibekalkan dengan bermacam-macam benda untuk dibawa pulang ke Lembah Kelang.

Sedih hati untuk meninggalkan Adelaide. Terlebih pilu lagi mengenangkan ramai rakan-rakan lama di Adelaide yang akan pulang ke tanah air pada tahun hadapan. Insya Allah ketemu kita di tanah air nanti. Diharapkan persahabatan kita akan terus berkekalan selamanya. Ameen.

No comments: