Friday, January 8, 2010

Tetamu Adelaide - Keluarga Arzami

Arzami adalah pensyarah Sains Komputer di UiTM Perlis. Kini di tahun akhir pengajian PhD di Flinders University, South Australia. Kami mengenali beliau dan keluarganya pada awal tahun 2007 setelah kami berangkat pulang ke tanah air dari Adelaide dan sebelum berangkat pula ke Melbourne beberapa bulan selepasnya.

Di penghujung minggu lalu, Arzami dan isterinya serta 5 anak mereka; Imran, Nabila, Amalina, Amira dan Adlina bertandang ke rumah kami di Dandenong. Mereka tiba dari Malaysia pada tengah hari Khamis (31/12/2009), hampir seminggu berada di rumah kami sebelum berangkat pulang ke Adelaide kelmarin (Rabu, 06/01/2010).

Pada tahun 2007 lalu, tiga orang anaknya bersekolah di Adelaide. Ketika itu tiada perlepasan yuran belajar untuk anak-anak yang mengikuti ibu/bapa mereka yang menyambung pengajian pasca siswazah di sana. Mereka tergolong dalam kategori pelajar antarabangsa dengan yuran belajar yang tinggi (AUD 4,000 seorang).

Oleh kerana tekanan perbelanjaan yang tinggi, isteri dan anak-anaknya dihantar pulang ke tanah air setahun selepasnya. Tidak disangka pula, mulai pertengahan tahun lepas, perlepasan yuran telah diberikan kepada semua anak-anak pelajar pasca siswazah yang terlibat dalam penyelidikan, sama seperti di Melbourne dan Perth. Jadi, kesemua ahli keluarganya dibawa kembali ke Adelaide.

Mereka menyinggah di Melbourne kerana ianya lebih menjimatkan. Tambahan pula dengan tawaran tiket istimewa Air Asia. Seterusnya menaiki Tiger Airways ke Adelaide, juga dengan tawaran potongan harga. Peluang yang tidak seharusnya dilepaskan.

Selama seminggu di rumah kami, tidak banyak kesempatan untuk membawa mereka jalan-jalan makan angin. Sekadar ke beberapa tempat di sekitar Dandenong, Clayton dan Morrabbin.
Sehari sebelum pulang ke Adelaide, mereka berjalan-jalan di Melbourne CBD, menaiki train dan tram sambil mengharungi kesibukan persekitarannya. Suasana yang amat jauh bezanya dari Adelaide City di South Australia. Sekurang-kurangnya mereka dapat menceduk pengalaman untuk bualan sesama rakan yang pernah berkunjung ke Melbourne.

Anak-anak mereka begitu cepat sekali mesranya. Anak sulung mereka, Imran yang hampir usianya dengan Izzuddin dirasakan paling gembira. Saban petang mereka berdua turun ke padang bermain bola sepak dengan rakan-rakan sebaya di Dandenong. Ada ketikanya berbasikal menyusur jalan ke tengah bandar Dandenong, juga ke kolam renang. Berpisahnya Imran dengan kenalan barunya di Dandenong pasti membuatkannya terasa kehilangan kerana difahamkan di Adelaide masih belum ada rakan sesama rakyat Malaysia dalam linkungan usianya di sana. Dengan adanya teknologi Facebook (dan seumpamanya) persahabatan sedia terjalin tiada sebabnya terputus begitu sahaja.

Pesanan untuk Arzami sekeluarga, kiranya ada kesempatan, datanglah berkunjung ke Melbourne dan jangan lupa untuk singgah di rumah kami. Insya Allah pintu rumah kami sentiasa terbuka. Mohon maaf atas layanan yang tidak seberapa. Jumpa lagi.

No comments: