Friday, January 1, 2010

SA > Singgah Di Hamilton

Sekitar jam 10:30 pagi Sabtu (26/12/2009), kami mula beredar keluar dari rumah Syidee-Salina. Destinasi kami seterusnya adalah Hamilton.

Perjalanan kami lancar melalui Princess Hwy-Western Hwy, seterusnya melencong ke Naracoorte merentasi Riddoch Hwy. Kami menyinggah sebentar di Visitor Information Centre. Di sebelahnya terdapat Sheep Back Museum tetapi kami tidak masuk. Cukup sekadar berlegar-legar di Limestone Gallery, menimba pengetahuan yang berkaitan dengannya.

Perjalanan seterusnya melalui Wimmera Hwy-Edenhope-Coleraine-Glenelg Hwy dan tiba di Lenwin Motor Inn di Hamilton kira-kira jam 3:00 petang.
Di sepanjang jalan pemandangannya amat cantik dengan kepelbagaian panorama alam. Pemandangan padang rumput dan ladang ternak saujana mata memandang adalah pemandangan biasa. Terdapat juga ladang gandum yang terbentang luas. Ada ketikanya kelihatan tasik-tasik di sana-sini, kebanyakannya kekeringan, kesan kemarau musim panas. Di sesetengah jalan pula, laluannya teduh meredup di payungi pepohonan rendang di kiri kanan jalan.

Bandar kecil Hamilton kelihatan simple sahaja. Pusat membeli belah, kedai-kedai, taman dan tasik lokasinya berdekatan antara satu sama lain. Amat mudah dan menjimatkan masa.

Lenwin Motor Inn pun sama. 2 bilik bersambung, dilengkapi dengan 2 double bed dan 3 single bed cukup selesa untuk kami sekeluarga. Bersebelahannya pula terdapat tasik dan juga taman permainan. Petangnya kami hanya berlegar-legar di sekitar tasik sahaja. Takungan air di sebelah tasik tampak teruk sekali dicemari blue green algae yang memenuhi permukaannya.

Pagi Ahad (27/12/2009), kami check out kira-kira jam 10:30 pagi. Singgahan pertama kami adalah Hamilton Lake berdekatan dengan penginapan kami. Juga taman permainan di sebelahnya, Helen’s Park yang turut dilengkapi kemudahan gelunsur untuk pemain kasut roda, scooter dan basikal BMX.

Seterusnya kami ke Hamilton Botanical Garden. Tamannya tidaklah luas tetapi susun atur lanskapnya memukau pandangan. Pelbagai jenis pokok merimbun segar mengindahkan lagi suasana. Terasa sejuk dan tenang apabila berjalan-jalan di dalamnya. Terdapat pokok-pokok tua berusia lebih seratus tahun, besar batangnya. Terdapat juga sangkar burung, garden cottage, band rotunda, rumah kaca, taman permainan, kolam dengan tumbuhan air dan juga pancur air.

Melewati awal petang, kami bergerak meninggalkan Hamilton melalui Glenelg Hwy-Western Hwy menuju Melbourne. Dari kejauhan jelas kelihatan banjaran gunung yang membentuk The Grampians, kawasan pelancongan tanah tinggi yang terkenal di Victoria.
Setibanya di Clayton, kami singgah di Monash Islamic Centre di Beddoe St. untuk bersolat jamak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. AlhamduliLlah kami selamat tiba di rumah kira-kira jam 7:00 petang.
Foto di Hamilton boleh diakses di Album Foto Kami (Hamilton) atau klik di sini.

No comments: