Monday, December 21, 2009

Jumpa-jumpa Akhir Tahun

Pagi semalam (Ahad) ahli keluarga Dandy Group berjumpa lagi. Kali ini di rumah Uji-Peter Scully di Caroline St, Dandenong. Majlis makan-makan yang bermula seawal jam 10:00 pagi dan berakhir sekitar jam 2:00 petang. Bolehlah dianggap sebagai gabungan sarapan pagi dan makan tengahari (brunch : breakfast-lunch). Selamatlah tidak payah makan di rumah…8)
Sebahagian foto dapat dilihat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Kami sekeluarga tiba sedikit terlewat, mengerjakan dendeng untuk dibawa sebagai potluck. Hidangan juadah di meja panjang di laman belakang rumah menarik sekali. Ada nasi kerabu, laksa penang, nasi lemak, nasi kuning, mee goreng, puding, kek dan bermacam lagi. Peluang makan yang tidak seharusnya dilepaskan, apatah lagi dengan citarasa Malaysia yang tidak lekang walaupun jauh di perantauan.

Ramai juga rakan-rakan yang hadir termasuk ahli baru Dandy Group, pasangan Rashidah-Craig Pursley yang tinggal di Chadstone (kini telah berpindah ke Blackburn South). Masing-masing terbayang keseronokan dapat bertemu muka, bertanya khabar berita dan berkongsi cerita. Anak-anak apatah lagi. Inilah peluang yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka.

Majlis makan-makan turut diserikan dengan majlis ringkas sambutan hari lahir ke-13 untuk anak kami, Izzuddin dan rakannya, Nazhan Hanif yang ke-12. Kek yang disediakan oleh Sham, ibu Nazhan amat menarik dan sedap sekali. Terima kasih Sham. Elok sekali jika dipromosikan di kalangan rakan-rakan Malaysia bagi yang berhajat.

Sekitar jam 1:30 petang, kami mula memohon diri untuk beredar pulang. Segan juga untuk pulang awal sebelum majlis berakhir tetapi sudah terpaksa. Selepas solat Zohor kami harus bergegas pula ke Fawkner untuk menghadiri OTC (Taekwondo) End of Year Ceremony untuk Izzuddin yang dijadualkan bermula jam 4:00 petang. Malah jemputan majlis hari lahir anak Dr. Faizal-Dr. Rahana, Al-Qays di sebelah petangnya pun tidak dapat dipenuhi. Maaf.

Terima kasih kepada semua. Insya Allah kita ketemu lagi di lain ketika.

No comments: