Monday, December 21, 2009

Izzuddin : Sambutan Akhir Tahun OTC

Petang Ahad, selepas beredar dari majlis makan-makan di rumah Uji-Peter, bersama keluarga Wafir-Suharti kami bergegas pula ke St. Mathews Primary School di Fawkner, hampir 50 km dari rumah. Majlis OTC End of Year Ceremony dijadualkan akan dilangsungkan pada jam 4:00 petang.
Majlis sambutan tahunan ini adalah anjuran Olympic Taekwondo Centre (OTC) pimpinan Master (7th Dan) Jemal Hasan, mengumpulkan kesemua kelab yang bernaung di bawah OTC. Izzuddin dan 2 orang anak Wafir-Suharti, Izzati dan Imran adalah antara ahli OTC Dandenong Club di bawah seliaan Master (5th Dan) Mohamed Jamshed Mohabbe.

Melewati jam 3:30 petang kami tiba di dewan sekolah di mana majlis dilangsungkan. Ibu bapa bersama anak-anak ahli OTC mula beransur-ansur tiba. Masing-masing segak sekali dengan seragam putih dengan pelbagai warna (tahap) tali pinggang. Ramai juga yang bertali pinggang hitam. Malah ada kanak-kanak kecil dengan tali pinggang berbelang, khusus untuk kanak-kanak bawah usia 6 tahun.
Majoriti daripada ahli OTC adalah Muslim. Tidak hairanlah bilik solat disediakan dan makanan yang dijual terjamin halal. Memudahkan semua untuk memenuhi tuntutan kepadaNya.

Majlis sambutannya bermula agak lewat, sekitar jam 5:00 petang. Penantian yang amat membosankan dengan suasana dewan yang sejuk dan bising. Persembahan dimulakan dengan aksi pattern dan tendangan oleh wakil Dandenong Club yang turut disertai oleh Izzati Wafir. Kepelbagai persembahan amat menarik sekali, diakhiri dengan persembahan oleh ahli Black Belt Senior dengan aksi-aksi akrobatik taekwondo. Namun pergerakan antara satu persembahan dengan persembahan selepasnya tidak kemas meninggalkan ruang masa menunggu yang panjang, melahirkan rasa bosan bagi penonton. Jika dapat dilakukan secara lancar pasti dapat melahirkan kekaguman semua. Malah dapat menjimatkan masa.

Agenda terakhir adalah majlis penyampaian cenderamata kepada para petugasnya yang berdedikasi. Diikuti penyampaian sijil dan tali pinggang kepada para ahli OTC yang disampaikan oleh Master Jemal Hasan. Bagi ahli OTC Dandenong Club, sesi ujian kenaikan tali pinggang (grading) telah dijalankan seminggu sebelumnya di Masjid Emir Sultan, Dandenong, lokasi latihan sejak sekian lama.

Tahniah kepada Izzuddin yang meningkat dari Blue Belt 3 kepada Red 1. Begitu juga kepada Izzati dari Blue Belt 3 kepada Red 1 dan juga adiknya Imran dari Yellow Belt 2 kepada Yellow Belt 3.

Selesai sahaja sesi penyampaian sijil, kami terus ke rumah Cik Din-Gee di Thomastown, tidak jauh dari sekolah. Memenuhi jemputan makan malam serta menunaikan solat Maghrib sebelum beredar pulang. Di rumah merekalah Laili berserta anak-anak yang lain menyinggah sehinggalah majlis sambutan berakhir sekitar jam 8:00 malam.
Keluarga Wafir-Suharti pula terus pulang ke Dandenong selepas majlis kerana telah pun kepenatan, esoknya pula perlu berkerja.

No comments: