Friday, December 18, 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431

Tahun Hijriah (kalendar Islam) 1430 telahpun berlalu. Terbenamnya mentari petang semalam menandakan munculnya tahun 1431 Hijriah. Hari ini, 1 Muharram adalah permulaan tahun baru, dikenali dengan Awal Muharram. Bersekali dengan hari penuh barakah, hari Jumaat, penghulu sekalian hari.

Pada hari inilah, lebih 1, 430 tahun lalu, RasuluLLah SAW bersama Saidina Abu Bakar AsSiddiq tiba di Kota Madinah. Perjalanan penuh dugaan dari Kota Mekah yang sentiasa dibayangi perancangan jahat musuh-musuh Islam. Penghijrahan bagi merubah suasana kegelapan penyebaran Islam kepada kecerahan penerimaan masyarakat. Bermulalah sinar agama nan suci menenggelamkan kekufuran yang sedang melata ketika itu. Inilah sinar hijrah yang menjadi penanda permulaan kiraan tahun Hijriah.

Menjelang masuknya waktu Maghrib petang semalam, kami sekeluarga berkumpul lebih awal. Berteleku di sejadah, memohon keampunan padaNya atas segala noda dan dosa sepanjang tahun. Doa Akhir Tahun dibaca penuh syahdu.

Setelah masuknya waktu Maghrib, doa Awal Tahun pula dibaca. Penuh harapan. Moga hari-hari mendatang sentiasa dirahmati dan dilindungi olehNya, menjadi diri yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya.
Untuk kami sekeluarga dan anda semua. Ameen. Ameen. Ameen. Ya, Rabbal ‘alamin.

Salam Maal Hijrah dari kami sekeluarga.

No comments: