Thursday, December 17, 2009

Hanisah : Graduation Day

Tahun ini Nur Hanisah (anak kedua kami) bersekolah di Dandenong North Primary School (DNPS) dalam Grade 6. Tahun hadapan Hanisah akan melangkah ke sekolah menengah di Dandenong High School (DHS). Satu sekolah dengan abangnya, Izzuddin yang akan melangkah naik ke Year 8.
Rakan-rakan Malaysia yang bakal menamatkan persekolahan mereka bersama Hanisah di DNPS adalah Ashraf Lajiman, Adleena Huzaizi dan Nazhan Hanif.

Minggu ini adalah minggu terakhir persekolahan untuk tahun 2009 ini. Sempena berakhirnya persekolahan para pelajar Grade 6 di sekolah rendah, kelmarin (Selasa) pihak sekolah telah menganjurkan Graduation Day untuk mereka bertempat di dewan sekolah, Ella Athon Hall. Begitulah tradisi sekolah sejak dahulu.

Saat yang amat ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar Grade 6. Masing-masing bergaya dengan pelbagai fesyen pakaian mengikut selera. Dengan budaya barat yang mendominasi kehidupan seharian penduduk Australia, tidak hairanlah corak pakaian sebahagian besarnya ibarat kain tak cukup, ketat dan terdedah. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.

Majlis bermula kira-kira jam 11:30 pagi, dimulai dengan jamuan makan ala carte. Makan beradab sesama rakan pelajar dengan disertai sama para guru yang mengajar mereka. Kegembiraan disulami kemesraan dan keakraban persahabatan yang terjalin hampir 7 tahun; bagi pelajar lama dan lebih 2 tahun bagi Hanisah. Selepas ini mereka akan berpisah. Sebahagiannya akan bersua kembali di sekolah menengah yang sama, namun ramai juga yang akan bersekolah di tempat lain. Begitulah lumrahnya.

Bersama rakan baiknya Xin Lei dan gurunya Mrs Jenni Surace dan Mrs Catherine Hilton
Majlis penganugerahan Certificate of Graduation bermula kira-kira jam 1:00 petang. Berbaris panjang pelajar di kiri kanan dewan menunggu giliran untuk naik ke pentas. Tahniah.
Setiap kali nama pelajar diumumkan, akan ditayangkan dilayar putih wajah keanak-anakan mereka ketika berusia 5 tahun (Preparatory Class) dan wajah mereka yang terkini. Raut wajah yang jauh berbeza adakalanya mengundang kelucuan rakan-rakan dan para ibu bapa yang turut berada di dalam dewan.
Laili tiba sedikit terlewat kerana ada urusan di universiti tetapi sempat bersama Hanisah meraikannya.

Selesai majlis penganugerahan, majlis berhibur khusus untuk para pelajar dilangsungkan. Lampu dewan dipadamkan dan muzik rancak diputarkan. Terkinja-kinja lelaki dan perempuan menari mengikut rentak muzik. Tiada lagi nilai kesopanan dan kesantunan. Berterusan sehinggalah waktu persekolahan tamat jam 3:30 petang. Alahai... begitu budayanya.

AlhamduliLlah, Hanisah tidak menggemari aktiviti seumpamanya. Bersama beberapa rakannya, Hanisah beredar ke satu sudut dewan, berchit-chat sehinggalah loceng pulang berbunyi. Terima kasih Hanisah kerana mampu membuat pilihan terbaik.

1 comment:

Tini said...

kalo nk anak pakai mcm tu, dok saja lah kt malaysia.Kesian dia.Nasib baik matsaleh lebih toleransi berbanding dgn muslim kita.Hmmmmm