Wednesday, March 3, 2010

Solehah Ke Sovereign Hill

Excursion atau lawatan keluar adalah antara kegiatan yang diatur oleh pihak sekolah setiap tahun untuk para pelajarnya. Tidak terkecuali di Dandenong North Primary School (DNPS) di mana Solehah dan Imran sedang bersekolah. Kebiasaannya berdasarkan tema pembelajaran yang ditetapkan untuk sesuatu semester/ penggal bagi setiap gred/tahun pengajian.

Bagi Solehah yang kini di Grade 4, bersama rakan-rakan di Grade 3, tema pembelajaran mereka di Penggal 1/2010 ini berkaitan sejarah penemuan emas di Australia, The Discovery of Gold. Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan adalah Sovereign Hill di Ballarat, kira-kira 130 km dari Dandenong. Itulah tempat lawatan bagi kedua-dua gred tersebut pada hari Jumaat yang lalu (26/02/2010).

Sehari sebelum lawatan tersebut, Solehah diserang lelah. Pada hari lawatan, lelahnya sedikit berkurangan. Berbekalkan inhaler dan pesanan kepada guru pengiringnya, Solehah dibenarkan untuk turut serta. Kasihan pula jika penyertaannya dibatalkan kerana telah lama Solehah begitu teruja untuk mengikutinya. AlhamduliLlah segalanya dalam keadaan memuaskan. Lelahnya pula beransur hilang.

Sebenarnya kami sekeluarga pernah ke Sovereign Hill pada akhir tahun 2007 lalu. Namun kunjungan Solehah kali ini lebih bermakna baginya, berbekalkan pengetahuan di sebalik kisah yang berlaku.

Menurut Solehah, sejarah lampau yang bermula awal tahun 1851 itu telahpun dipelajari dan dibuat kajian di dalam kelas. Kunjungan mereka ke sana adalah untuk menyelami suasana pada zaman tersebut yang dikenali sebagai Gold Rush Era serta melihat secara dekat proses yang dilalui dalam perlombongan emas.

Sekembalinya dari lawatan tersebut, hampir setiap hari, tanpa jemu Solehah bercerita penuh semangat pengalaman yang dilaluinya. Persekitaran di Sovereign Hill benar-benar menyerlahkan kehidupan di tahun 1850an. Para pekerjanya berpakaian lama. Deretan rumah, kedai, hotel dan sekolah juga dengan rekabentuk kolonial. Tiada kereta di jalan raya, yang ada hanyalah kereta kuda. Kawasan perlombongannya juga dengan konsep lama.

Para pelajar sekolah berpeluang mencuba mendulang emas di alur sungai yang mengalir. Bagi Solehah, pengalaman yang paling seronok adalah menyusuri laluan bawah tanah yang kelam, hanya diterangi lampu yang berbalam-balam cahayanya. Itulah laluan para pelombong emas pada zaman tersebut. Amat menakutkan, lebih-lebih lagi apabila terdengar kesan bunyi runtuhan tanah. Seterusnya ditunjukkan sama proses membentuk ketulan emas dengan pemanasan sehingga 1,200 darjah Celcius.

Malah banyak lagi kisah-kisah menarik yang dilalui oleh Solehah. Pengalaman dan pengetahuan yang amat berguna, apatah lagi jika difikir dan direnungi secara saksama.
Nota : Solehah tiada dalam foto, hanya foto orang lain yang diambilnya.. 8)

2 comments:

mizzura said...

salam singgah..cari info melbourne:-)

mizzura said...

salam singgah..cari info melbourne:-)