Tuesday, March 23, 2010

Dunia Buku : Pesta Buku

Di tanah air, kini sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali ke-29 bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC). Ianya bermula pada hari Jumaat lalu (19/03/2010) dan akan berakhir pada hari Ahad (28/03/2010). Diberitakan kira-kira 857 buah booth disediakan untuk lebih 200 penerbit/ penjual/ agensi dalam dan luar negara. Sekaligus mencatat sejarah pesta buku terbesar yang dianjurkan.

Sejak dahulu lagi, setiap tahun saya pasti tidak terlepas untuk mengunjunginya. Saya sengaja mengambil cuti pada hari-hari tertentu semata-mata untuk ke PWTC.
Seronok sekali rasanya apabila melihat timbunan buku-buku di sana-sini, tersusun rapi dengan potongan harga yang menarik - membuatkan hati benar-benar teruja dan tergoda. Penat kaki melangkah ke serata pelusuk dewan sambil menyinggah di hampir setiap booth bagaikan tidak terasa. Sememangnya dunia buku benar-benar membuatkan diri ini karam, tenggelam dalam keharuman bau buku yang menyegarkan.

Pada tahun 2008 dan juga tahun ini saya tidak dapat mengunjunginya kerana berada di perantauan. Terasa bagaikan satu kehilangan. Jiwa meronta-ronta tapi apakan daya...

Pada tahun lepas saya rasa amat bertuah kerana berpeluang mengunjunginya ketika pulang bercuti bersama keluarga. Dalam kesibukan menyelesaikan tunggakan urusan, saya pastikan ada masa untuk ke PWTC. AlhamduliLlah 2 kali saya berkesempatan ke sana. Booth PTS, Telaga Biru, Alaf 21, DBP, Karangkraf, Nufair Street dan Galeri Ilmu adalah antara yang menjadi keutamaan untuk disinggahi.

Dari pemerhatian umum, sambutan pengunjung amat hebat sekali. Setiap kali dilangsungkan PBAKL, difahamkan lebih 1 juta orang mengunjunginya. Malah setiap tahun bilangannya semakin bertambah. Jelas menunjukkan mutaakhir ini bahawa rakyat Malaysia sememangnya amat menyukai buku. Petanda yang amat memberangsangkan dalam pembentukan generasi pelapis yang berilmu pengetahuan. Mungkin kajian lanjut perlu dilakukan untuk melihat secara dekat jenis dan skop bahan bacaan yang menjadi kegemaran mereka.
Bagi kami sekeluarga, dunia buku amatlah mengasyikkan. Kami sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk membeli buku. Bagi anak-anak, jika diberi pilihan antara buku dan permainan, pasti pilihannya adalah buku. AlhamduliLlah.
Selama hampir 3 tahun di Melbourne ini, telah ratusan buku kami beli. Kebanyakannya buku terpakai yang dijual di Dandenong Library, pusat barangan terpakai seperti Savers, Salvos dan Thrash Market serta di garage sales. Bukunya masih elok lagi dan harganya murah sekali. Ada juga yang diperolehi secara percuma.
Sebahagian daripada buku-buku tersebut telahpun siap dimasukkan ke dalam kotak kerana tiada lagi ruang untuk diletakkan. Kami mengimpikan, Insya Allah akan disediakan Perpustakaan Keluarga ketika pulang ke tanah air nanti. Moga-moga impian menjadi kenyataan. Ameen.

No comments: