Monday, March 1, 2010

Jumpa-jumpa Akhir Musim Panas

Semalam, mengikut perkiraan kalendar adalah hari terakhir musim panas (summer) di Australia. Hari ini bermulanya peralihan musim kepada musim luruh (autumn).

Petang semalam warga Kg. Dandy berkumpul di rumah Tg Rashdan-Zura di Alexander Ave. Makan-makan sambil bersembang dan beramah mesra. Kegiatan rutin hampir setiap bulan bagi kami di Dandenong, Noble Park, Chadstone dan Blackburn South yang bergabung di bawah Kg. Dandy.
Beberapa keping foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Tg Rashdan) atau klik di sini.

Empat meja yang disediakan bersebelahan kolam renang di belakang rumah dipenuhi pelbagai hidangan yang mewah sekali. Dari juadah berat sehinggalah kueh-mueh dan buah-buahan. Semuanya amat menyelerakan, hasil tangan setiap keluarga yang turut serta.
Begitulah keadaannya apabila setiap kali majlis seumpamanya diadakan. Soal makanan memang tiada tandingannya, lebih-lebih lagi ramai yang bertaraf pakar masak memasak.

Dan untuk kali ini, istimewanya BBQ lamb dan ayam serta sosej menjadi menu utama. Sebenarnya aktiviti ber-BBQ ini seolah-olah satu kemestian bagi kami setiap kali mengadakan majlis makan-makan seumpamanya. Namun telah lama ianya terhenti dan semalam apabila diadakan kembali, sudah pasti ianya menjadi tumpuan utama. Tujuh kilogram lamb chop, empat kilogram kepak ayam dan lima kilogram sosej tidak terasa banyaknya.
Lebih menggembirakan lagi, rakan-rakan dari Geelong, kira-kira 50 km dari Dandenong pun turut serta memeriahkannya. Berkebetulan mereka mempunyai urusan di Dandenong. Dan turut bersama kami adalah keluarga Dr. Salmah yang baru tiba beberapa hari lalu dan kini sedang berusaha mencari rumah sewa di Dandenong. Insya Allah bertambah lagilah warga Kg. Dandy.
Seronok sekali rasanya dapat bertemu muka, bertanya khabar berita dan berkongsi cerita sesama ahli keluarga. Kaum ibu dengan kumpulan wanita bersama anak-anak kecilnya. Kaum bapa pula dengan kumpulan lelakinya. Anak-anak pun sama, bersama-sama rakan sebaya mereka, bermain di taman berdekatan. Hasrat untuk bermain air di kolam renang bersebelahan terpaksa dilupakan kerana airnya amat sejuk.
AlhamduliLlah keadaan cuaca petang semalam baik sekali walaupun sedikit sejuk dengan suhu sekitar 22 C. Panas nyaman dengan sesekali cahaya matahari memancar di celah-celah awan tebal. Berkekalan sehingga kami beredar pulang kira-kira jam 6:00 petang. Tiada hujan yang turun bagai yang diramalkan.
Moga pertemuan yang diatur dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluarga dan silaturrahim yang sedia terjalin. Mekar segar mengharum sepanjang zaman.

No comments: