Wednesday, March 17, 2010

Panik... Panik...

Imran (anak bongsu kami) baru sahaja memasuki alam persekolahan sekolah rendah di Dandenong North Primary School (DNPS). Setiap hari ke sekolah Imran menggalas beg besar (hadiah dari pihak sekolah) tetapi ringan sahaja. Perginya berhantar, baliknya pula berjemput bersama abang dan kakak-kakaknya.
Menurut guru kelasnya, Mrs. Slatter, ”Imran kerap kelihatan mengantuk di dalam kelas”. Setelah diketahui Imran tidur sekitar jam 9:00 malam, gurunya berpesan kepada Imran, ”Imran perlu masuk tidur awal, seawal jam 7:00 malam”.
Bagi anak-anak sekolah seumpama Imran, kata-kata gurunya adalah kata-kata hikmat yang perlu dituruti. Itulah yang cuba dilakukannya walaupun masanya masih awal, masih petang lagi, waktu Maghrib pun belum masuk lagi. Malah difahamkan, demikianlah rutin anak-anak Aussie di sini. Tidak hairanlah gurunya berpesan begitu.
Jam 7:00 sahaja, sibuk Imran mencari ibu mahupun ayahnya. Terluah dari mulutnya, ”Panik...panik...”. Itu tandanya masa tidurnya telah pun tiba. Berbaring di katil sambil pejam-celik pejam-celik matanya. Gelisah sekali kerana rasa mengantuknya tidak juga datang. Begitulah perlakuannya hampir saban hari. Melewati jam 9:00 malam, barulah kedengaran dengkurannya.
Akhir-akhir ini jam 7:00 berlalu begitu sahaja. Waktu itu Imran masih lagi bertenaga, sibuk dengan komputer mahu pun buku-bukunya. Menghampiri jam 8:30 malam barulah Imran menginginkan perhatian ibunya. Rasa mengantuknya telah pun memberatinya. Ketika kami sekeluarga bersolat Isyak, biasanya Imran telah pun lena beradu.

No comments: