Saturday, March 13, 2010

Forum Maulidur Rasul

Pagi tadi kami sekeluarga ke Dewan Malaysia Melbourne yang terletak di K4, High St, Windsor – tidak jauh dari Albert Park yang terkenal sebagai tapak Formula 1 Melbourne. Telah lama kami tidak ke sana sejak ditutup sementara untuk pembinaan tambahan blok asrama pelajar di bahagian belakangnya. Kini ianya telahpun siap dibina dan telahpun didiami oleh para pelajar. Cantik sekali bangunan barunya.
Sebenarnya, bukan itu tujuan utama kami berkunjung ke Dewan Malaysia. Tumpuan kami adalah untuk menghadiri Forum Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh Badan EHSAN (Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan), bersekali dengan Majlis Rumah Terbuka mereka. Kehadiran penonton/ pengunjung amat membanggakan terutama di kalangan adik-adik undergraduate. Dewannya penuh sesak dengan hampir dua pertiga adalah hadirin wanita.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Warden, Sdr Hasnizul, diikuti alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Sdr Faizal Wee (sedap suaranya). Tajuk forumnya pula ringkas sahaja tapi penuh makna yang tersurat dan tersirat, “My Name Is Muhammad. I’m Your Prophet”.
Barisan ahli panel forum juga hebat-hebat belaka, kesemuanya pelajar di peringkat PhD dan alim pula (kata tuan moderator). Mereka adalah Ustaz Nushi Mahfodz (PhD Islamic Law), Ustaz Khairul Anuar (PhD Tajwid) dan Ustazah Prof Madya Nur Hidayah (PhD Family Law). Moderatornya pula Sdr Hanif Yaacob (PhD Engineering).
Perincian dan kupasan yang diutarakan oleh setiap ahli panel amat menarik sekali. RasuluLlah SAW bukan sekadar penyampai wahyu Allah SWT semata-mata tetapi pembawa rahmat ke seluruh alam. Sunnah RasuluLlah SAW adalah untuk ditekuni dan diteladani. Ditekankan juga betapa perlunya setiap Muslim menterjemahkan kasih sayang mereka kepada Baginda SAW dengan menyampaikan Islam dengan sewajarnya. Moga dengannya Islam sentiasa menyinari diri, keluarga dan persekitaran kita.
Seusai forum, dipersembahkan pula alunan merdu medley nasyid RasuluLlah oleh adik-adik (ahli) EHSAN serta promosi EHSAN oleh Presidennya, Sdr Muhammad Zaim. Secara peribadi, kumpulan nasyid berkenaan boleh diketengahkan. Mereka amat berbakat.
Kepulan asap dan bau bakaran BBQ lamb dan ayam di belakang bangunan amat menggoda selera terutama kepada anak-anak. Tambahan pula jam telah pun melewati jam 2:00 petang, pasti sahaja perut pun kerap berdondang sayang. Sebahagiannya beredar ke halaman belakang menjamu selera, manakala sebahagian lagi menyempurnakan kewajiban solat berjemaah di dalam dewan.
AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. Makan-makan sambil beramah mesra. Turut sama adalah Tuan Haji Abdul Hamid Ashari, Presiden MECCA Inc (Malay Education and Cultural Centre of Australia Incorporated), kesatuan yang sedang giat mengusahakan pengumpulan dana pembangunan Masjid Melayu pertama di Victoria, dan mungkin juga di Australia.

1 comment:

Anonymous said...

Metamorphose the prurient with two backs casinos? performance this youthful [url=http://www.realcazinoz.com]casino[/url] shrivel up from and hiatus online casino games like slots, blackjack, roulette, baccarat and more at www.realcazinoz.com .
you can also into our additional [url=http://freecasinogames2010.webs.com]casino[/url] cicerone at http://freecasinogames2010.webs.com and drub fleshly compressed spondulicks !
another luxury [url=http://www.ttittancasino.com]casino spiele[/url] category is www.ttittancasino.com , as a substitute for of german gamblers, ready for beneficent online casino bonus.