Sunday, March 7, 2010

Ribut Air Batu di Melbourne

Semalam... menghampiri jam 3:00 petang, tiba-tiba sahaja hujan lebat turun di Dandenong berserta bunyi yang kuat menimpa bumbung rumah. Terkejut kami dibuatnya. Menjenguk laman hadapan, kelihatan bertali arus ketulan ais kecil sebesar hujung jari tangan menjunam jatuh dari angkasa. Bertaburan di sekeliling rumah. Sekejap sahaja, kesemuanya hilang disapu air hujan yang mengalir deras.
Ketulan ais di tepian jalan raya
Fenomena seumpamanya kerap berlaku di Melbourne, cuma kali ini ketulan air batunya lebih besar berbanding kejadian yang lepas-lepas. Jadi tiada peliknya pada pandangan kami.
Rupa-rupanya di Melbourne CBD/City dan beberapa kawasan sekitarnya mengalami suasana ribut petir dan hujan air batu yang dahsyat, dikatakan sejak 40 tahun lalu. Laporan berita di televisyen mengesahkannya. Amat mengejutkan. Ketulan air batu yang menjunam jatuh lebih besar saiznya, hampir sebesar bola tenis. Ramai yang tercedera ditimpainya.
Teringat akan kisah burung-burung Ababil yang mengugurkan ketulan batu berapi ke atas tentera bergajah Raja Abrahah di tahun kelahiran RasuluLLah SAW. Kejadian yang berlaku di bulan yang sama, bulan Rabi'ul Awal. Saat yang baru sahaja kita raikan kira-kira seminggu yang lalu.
Hujan yang turun pula amat lebat berserta angin yang bertiup melebihi 100 km/jam. Yarra River yang mengalir di tengah-tengah City melimpah airnya. Tidak sampai 2 jam, hampir keseluruhan kawasan terlibat digenangi air. Banyak kenderaan tersadai, malah ada yang hanyut dibawa arus. Sistem pengangkutan awam; bas, teksi, keretapi dan tram juga terhenti.
Air bergenangan di merata tempat, kenderaan pula terkandas
Banyak bangunan yang rosak bumbung dan pecah tingkapnya ditimpa ketulan air batu. Air melimpahi masuk ke dalam bangunan; antaranya Ettihad Stadium, Southern Cross Train Station, Myers Shopping Complex dan juga Melbourne Airport.
Huru hara dan kelam kabut dibuatnya. Apatah lagi ramalan cuaca pada hari ini juga dikatakan serupa seperti semalam.
Begitulah aturan Allah SWT. Dalam keadaan manusia berwaspada dengan api yang memungkinkan berlakunya tragedi kebakaran besar (inferno) seperti pada tahun lepas, tanpa disedari Allah SWT mengirim pula air sebagai peringatannya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Itupun jika manusia berusaha untuk memikirkannya secara wajar.
Fikir-fikir dan renung-renungkanlah. Di mana-mana pun ianya boleh berlaku.

No comments: