Saturday, March 27, 2010

Cuti Sekolah Penggal 1/2010

Hari ini, 27/03/2010, bermulanya cuti persekolahan Penggal 1 di Victoria, Australia. Cuti selama 2 minggu ini akan berakhir pada 11/04/2010. Cuti persekolahan antara negeri-negeri di Australia ini sebenarnya tidak sama tarikhnya. Ada yang lebih awal dan ada juga yang lewat sedikit. Pentadbiran Kementerian Pendidikan bukannya secara berpusat seperti di Malaysia tetapi tertakluk di bawah pentadbiran setiap negeri. Jadi tidak hairanlah cuti persekolahannya tidak serentak.
Selama cuti sekolah ini, yang pasti anak-anak mempunyai masa yang lebih di rumah. Sehari dua berada di rumah, tiada masalah bagi mereka. Tidak timbul rasa bosan, umpama cuti hujung minggu sahaja. Namun apabila lama sedikit, mulalah kedengaran keluhan dan perlakuan yang menampakkan riak kurang seronok. Begitulah kelazimannya.
Jadi perlulah dirancangkan sesuatu yang menyeronokkan mereka. Selari dengan minat mereka kepada buku, maka kunjungan ke Dandenong Library adalah satu kemestian. Pilihlah semaksimum buku yang dibenarkan pinjam. Ketika cuti sekolah, bagi setiap satu kad biasanya ditingkatkan hadnya kepada 40 buah buku dan 8 keping DVD. Kami mempunyai 4 kad, jadi pinjamlah seberapa banyak buku dan DVD yang diingini. Silakan.
Pada sebelah petang, selalunya anak-anak turun ke padang sekolah menyertai kelompok rakan-rakan mereka beriadah. Bermain bola sepak, kriket, bola keranjang atau sekadar bermain di padang permainan. Kegiatan yang amat kami alu-alukan agar seimbang antara waktu memerap di rumah dan mengeluarkan peluh di kawasan lapang.
Banyak lagi kegiatan yang dilakukan ketika cuti sekolah. AlhamduliLlah, semuanya dilakukan setelah mendapat keizinan kami terlebih dahulu. Bagi kami tiada masalah, asalkan ianya bermanafaat dan tidak mengundang mudarat. Dan yang paling penting adalah perintah Allah SWT sentiasa menjadi keutamaan terutama mengerjakan solat dan menjaga batasan aurat.
Kebiasaannya pada masa cuti sekolah kami akan membawa mereka melancong ke tempat-tempat tertentu. Berkebetulan pula pada kali ini bersekali dengan cuti Hari Easter. Kami bercadang, Insya Allah akan berkunjung ke Sydney, New South Wales di pertengahan minggu nanti. Di sana tinggalnya adik Laili, Eusni Rahayu sekeluarga yang baru tiba kira-kira sebulan lalu. Anak-anak tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan sepupu-sepupu mereka yang sebaya semuanya. Perhatikan foto di atas, mereka kelihatan amat akrab sekali.
Moga segala perancangan kami dipermudahkan oleh Allah SWT. Diharapkan juga sepanjang cuti 2 minggu ini dilalui penuh keseronokan sambil menambah ilmu dan pengetahuan. Ameen.

No comments: