Monday, March 22, 2010

Kenalan Baru

Semalam, rumah kami sedikit meriah dengan kehadiran silih berganti rakan-rakan baru dan lama. Bermula dengan keluarga Ustaz Zain-Wan Saliza, diikuti pula keluarga Nazman-Dr. Salmah dan Kak Arifah. Tengaharinya pula Kahfi-Yati sekeluarga serta Rahana bersama anaknya, Zyva datang berkunjung.
Kak Arifah adalah orang lama, telah 36 tahun menetap di bumi Australia. Kini tinggal di Endervour Hill, tidak jauh dari rumah kami. Manakala Dr. Rahana pula telah lebih setahun di sini. Seperti Laili, kini calon PhD dan tinggal di Clayton South. Insya Allah Rahana akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat untuk urusan pengumpulan data.
Keluarga Ustaz Zain-Wan Saliza
Mereka sekeluarga termasuk 2 pasang anak kembar mereka, Faris-Farah berusia 7 tahun dan Raiyan-Raihan pula baru berumur 7 bulan. Turut serta ibu Ja, Mak Wan dari Rhu Renggeh, Terengganu. Ustaz Zain adalah pensyarah UKM dan kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Monash University kampus Clayton.
Mereka baru sahaja tiba di Melbourne hampir 3 minggu lalu. Awalnya tinggal sementara di Malaysia Hall dan kini di rumah Cikgu Din-Marliana yang pulang ke Malaysia. Insya Allah akan masuk ke rumah sewa mereka di Dandenong pada awal April nanti.
Keluarga Nazman-Dr. Salmah
Bersama 3 anak mereka; Amir (14 tahun), Alia (11) dan Aril (9), telah pun sebulan tiba di Melbourne. Kini tinggal di Browns Rd, Clayton. Dr. Salmah, seorang pegawai perubatan akan menjalani latihan kerja selama setahun, berpusat di Monash University, kampus Notting Hill.
Dr. Salmah akan tinggal berempat bersama-sama anak-anaknya, sementara suaminya, Nazman, seorang ahli perniagaan telahpun berangkat pulang ke tanah air malam tadi. Insya Allah, Nazman akan datang menjenguk keluarga sekali sekala. Tambahan pula anak sulung mereka kini belajar di Geelong, kira-kira 70 km dari Clayton.
Keluarga Kahfi-Yati
Mereka berdua bersama 2 anak perempuan; Nor (12 tahun) dan Isya (9 ) baru 2 hari tiba (Sabtu). Yati adalah pensyarah UUM dan akan menyambung pelajaran di peringkat PhD di Monash University kampus Caufield.
Semalam mereka menaiki tram dan train dari Malaysia Hall ke Dandenong semata-mata memenuhi jemputan kami. Banyak perkara yang dibualkan terutama berkaitan pencarian rumah sewa, pengajian anak-anak, pendaftaran universiti dan kehidupan di perantauan. Mereka merancang untuk mencari rumah sewa samada di Dandenong atau Clayton.
AlhamduliLlah, dengan kehadiran sama Dr. Rahana, soal penginapan sementara ada jawapannya setelah mereka diajak tinggal bersamanya. Insya Allah, soal pendaftaran di universiti pula akan dibantu oleh Nor (isteri Sdr Haidar) yang belajar di kampus Caufield.
Kepada setiap orang baru sentiasa diperingatkan, usah segan meminta pertolongan. Di perantauan, rakan-rakanlah yang menjadi saudara dan keluarga yang terdekat. Jika tidak mereka yang membantu, siapa lagi yang ingin diharapkan. Insya Allah segala-galanya akan dipermudahkanNya.
Kepada semua, berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi memenuhi jemputan kami. Moga perkenalan yang baru berputik mahupun telah lama akan terus kekal mesra selamanya.

No comments: