Wednesday, March 31, 2010

Penangan Buah Tiin

Apabila disebut akan buah tiin, pasti ramai yang terbayangkan bentuknya berkeping kering dengan biji-biji halus di dalamnya. Biasanya dibawa pulang oleh para jemaah haji/ umrah yang berkunjung ke Mekah-Madinah. Juga terdapat di kedai/ gerai yang menjual buahan kering dan bijirin terutama ketika menjelangnya Ramadhan dan Syawal.
Saya sendiri amat menyukai buah tiin kering ini. Jika diberi pilihan samada buah tiin, kurma, kismis, apricot mahu pun kacang pistachio yang biasanya dihulurkan oleh Pak Haji/ Mak Hajjah, saya pasti memilih buah tiin. Rasanya manis dan ranggup sekali apabila biji-bijinya dimamah.
Sering kali terlintas juga di fikiran, bagaimana agaknya rupa buah tiin yang segar serta pokoknya. Ianya berlalu begitu sahaja. Sehingga ketemu buahnya lagi di lain kesempatan, lintasan seumpamanya ada kala timbul kembali.
Siapa tahu, gerak hati tanpa impian mendalam rupa-rupanya dikabulkan oleh Allah SWT. Bukannya di tanah air ianya termakbul. Dan bukan juga di bumi anbiya’ ianya ditemui. Tidak disangka-sangka di bumi kangaroo lokasinya. Hanya di belakang rumah sahaja tempatnya. Setinggi-tinggi pujian untukNya. Terima kasih Ya Allah.
Buah tiin ini juga dikenali sebagai buah fig. Bentuknya bulat dan ada juga bujur, amat digemari oleh burung. Pantang ianya kelihatan masak, jika terlambat pasti menjadi rezeki burung. Begitulah aturanNya.
Terdapat 2 jenis buah tiin yang biasa ditemui. Jenis pertama adalah sebesar bola tenis. Kulit hijaunya bertukar kekuning-kuningan dan selalunya merekah apabila masak. Isinya berwarna kuning pucat dengan pulpa berbiji merah di dalamnya (foto di bawah). Inilah yang ada di belakang rumah kami. Jenis kedua hanya sebesar bola golf/ guli. Apabila masak kulitnya berwarna kemerah-merahan. Begitu juga isinya. Biasanya ia lebih manis dari jenis pertama.
Pokok tiin tidaklah tinggi. Daunnya bercabang tiga seakan daun pokok maples. Merimbun daunnya sehinggakan ada julainya mencecah tanah. Ianya berputik di akhir musim bunga dan masak di awal musim luruh. Lazimnya terdapat di celah-celah pangkal daun di bahagian ranting.
Pokok tiin adalah jenis pokok bermusim. Hanya berbuah setahun sekali sahaja. Menjelang masuknya musim sejuk, keseluruhan daunnya akan mengguning dan gugur ke tanah, meninggalkan dahan dan ranting berceracak bagaikan ‘tangan hantu’. Apabila masuknya musim bunga, dedaunan mulai bertunas dan cepat sekali merimbun segar.
Sepanjang 4 musim luruh menyewa rumah sekarang, bermakna telah pun 4 kali kami dapat merasai buah tiin segar dari pokoknya. Dipetik dari tampuk, disiat kulit luar dan terus dimasukkan ke mulut. Emm... sedapnya. Terima kasih Allah kerana mengurniakan ni’mat yang tidak dijangkakan. Pada tahun hadapan pasti diri ini akan merindui keenakannya kerana tahun ini adalah tahun terakhir kami menetap di Australia ini, khususnya di Dandenong, Victoria.
Pada tahun ini, buahnya tidak selebat tahun-tahun sebelum ini. Namun sempatlah juga dikongsi bersama rakan-rakan di Dandenong ini. Kini hanya tinggal beberapa biji buahnya di pokok. Itupun jika sempat kami mengambilnya. Jika tidak, habuan burunglah jawabnya. Tidak mengapalah, burung pun makhluk Allah SWT jugakan...

1 comment:

Anonymous said...

best tak buah tiin segar ni? untung kamu ye. huhu. sy juga berkeinginan seperti awak.