Monday, March 8, 2010

Lepak-lepak Dandenong

Petang semalam rakan-rakan Dandenong berkumpul di rumah Lajiman-Suraya di Bedwell Ave, Dandenong. Jemputan bagi sama-sama meraikan sambutan hari lahir anak mereka, Ashraf. Disekalikan pula dengan majlis yang sama untuk anak kami, Hanisah dan juga Ustazah Zulaiza, isteri Sdr Norizam. Terima kasih Man dan Su kerana mengusahakannya.
Cuacanya kurang baik. Hujan lebat sesekali turun diikuti angin menderu. Kesemuanya hanya berhimpun di dalam rumah. Kaum ibu di ruang makan, kaum bapa di ruang tamu, manakala anak-anak pula di bilik.
Majlis bermula selepas solat Asar, sekitar jam 6:00 petang dengan nyanyian Happy Birthday, diikuti upacara ringkas memotong kek. Ceria sekali anak-anak dikelilingi rakan-rakan sebaya mereka. Masing-masing kelihatan tidak sabar merasai keenakan kek, hasil tangan Suraya dan Sifunya, Cikgu Sham.
Meja makan di dapur dipenuhi bermacam jenis juadah, sebahagiannya diusahakan oleh setiap keluarga yang hadir. Ingatkan sekadar minum petang sahaja, tidak disangka pula turut sama terhidang makanan berat. Selamatlah makan malam.
Seronok sekali dapat duduk-duduk lepak sambil makan-minum dan berborak sakan. Tidak sedar masa begitu cepat berlalu. Sedar-sedar telah pun melewati awal malam. Selepas solat Maghrib berjemaah dan minum secawan kopi, masing-masing beransur pulang ke rumah.
Hari ini pun ada jemputan lagi, makan pagi dan tengahari (brunch) dari Uji dan Peter Scully di rumah mereka di Caroline St, Dandenong. Makan lagi. Kebetulan hari ini cuti umum di Victoria, Hari Pekerja. Anak-anak pun tak bersekolah.
Aktivitinya sama sahaja, duduk-duduk lepak sambil makan-minum dan bertukar-tukar cerita/berita di laman belakang. Cuaca hari ini masih tidak menentu. Awan di langit berarak laju. Panas dan mendung bersilih ganti.
Melewati tengahari, hujan renyai-renyai mulai turun. Terpaksalah diangkut semua juadah di meja luar rumah masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu, semuanya berangkat pulang sambil mengelek/menjinjing bekas makanan berisi bekalan yang berbaki, sekurang-kurangnya untuk makan petang/malam.

No comments: