Tuesday, March 16, 2010

Lanjutan Pengajian

Isteri saya, Noorlaili adalah pensyarah perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berpusat di Hospital UKM, Cheras, Kuala Lumpur. Sejak pertengahan tahun 2007 lalu, Laili menyambung pengajian peringkat kedoktorannya (PhD) dalam bidang Geriatrics di Monash University (Nottinghill Campus) dengan fokus penyelidikannya berkaitan kesihatan warga emas, Healthy Ageing.
Laili bersama penyelia-penyelianya ketika berkunjung ke Jenderami, Malaysia
Tahun ini adalah tahun akhir pengajiaannya. Mengikut perkiraan 3 tahun yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Laili akan tamat pengajiannya di pertengahan tahun ini. Namun kekangan kerja-kerja kursus, antaranya pengumpulan data, penulisan transkrip, penterjemahan, penganalisaan dan penulisan; tidak memungkinkan ianya dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan.
Permohonan perlanjutan tempoh selama 6 bulan lagi telah diajukan kepada pihak universiti pada awal tahun baru-baru ini. Malah Monash University sendiri pun menawarkan tempoh pengajian selama 4 tahun. AlhamduliLlah, 2 minggu lalu permohonannya telah diluluskan. Bermakna kami sekeluarga akan terus berada di bumi kangaroo ini sehingga akhir tahun ini. Insya Allah.
Dengan ruang masa tambahan yang ada, diharapkan dapatlah Laili menghadamkan lambakan kerja kursus dengan lebih teliti dan saksama. Sekurang-kurangnya tekanan kerja dapat ditangani dengan lebih baik dan diseimbangi dengan keperluan hidup yang lain. Moga segalanya berjalan lancar bagai yang dirancangkan. Ameen.
Bagi anak-anak, berita perlanjutan ini adalah khabar gembira bagi mereka. Mereka seronok bersekolah di bumi Australia. Pengalaman ketika di tanah air dahulu amat memeritkan terutama kerja-kerja sekolah yang bertimbun dan beg sekolah yang berat. Pihak sekolah (juga Kementerian Pelajaran) terlalu mengejar kecemerlangan akademik, tanpa disedari telah mencuri masa emas dunia kanak-kanak itu sendiri. Moga-moga ketika kepulangan mereka nanti, sistemnya telah pun berubah.
Bagi diri saya pula, menerimanya dengan seadanya. Suka tidak, duka pun tidak. Mengikut kata hati, memang rindukan tanah air. Namun kewajiban dan amanah Allah yang telah disanggupi perlu diterima penuh redha. Insya Allah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sabar sahajalah.

2 comments:

Shaharudin Ismail said...

Alhamdulillah dapat extension.
Dengar khabar banyak universiti dah tak luluskan permohonan lanjutan pengajian, dalam ertikata lain siap atau tidak, cukup 3 tahun mesti kena balik Malaysia

ropidi 'n laili said...

AlhamduliLlah. Dengar cerita pun macam tu jugak, antaranya UM.