Wednesday, March 24, 2010

Dunia Buku : Minat Buku

Setiap orang dalam keluarga kami sememangnya meminati buku. Dengan lain perkataan, semuanya minat membaca. Satu hobi yang amat menarik, boleh menyebabkan manusia tenggelam dalam keasyikan.
Sebahagian buku kami di perantauan tersusun rapi di rak
Hobi meminati buku ini terutama pada anak-anak terbentuk secara semulajadi. Kehidupan seharian mereka sentiasa dikelilingi buku-buku. Dan kami, sebagai ibu bapa sentiasa menggalakkan mereka mencintai buku. AlhamduliLlah, ianya berputik sejak kecil dan terus mekar sehingga kini. Moga-moga ianya berterusan begitu selama adanya hayat. Ameen.
Setiap orang daripada kami mempunyai ruang lingkup minat yang tersendiri. Saya meminati buku-buku mahupun artikel keagamaan dan kesejagatan serta tidak ketinggalan novel-novel islami. Laili pula meminati buku-buku agama dan juga bahan bacaan ilmiah.
Anak sulung kami, Izzuddin amat menyukai majalah sukan, komik dan buku-buku berbentuk facts and figures seumpama Guinness World Records. Hanisah pula beransur-ansur menukarkan minatnya daripada buku-buku fairy tales kepada buku-buku berkonsep keremajaan, selari dengan peningkatan usia remajanya. Manakala Solehah pula kini mengambil alih tempat kakaknya menggemari buku-buku fairy tales.
Anak bongsu kami, Imran, sejak dahulu lagi amat menyukai buku-buku tentang binatang. Kini hampir semua koleksi Imran adalah tentang binatang. Buku Wildlife Atlas dan My First Animal Encyclopedia adalah antara buku yang amat digemarinya. Jika berjalan jauh, buku tersebutlah yang akan dibawa bersamanya.
Dengan setiap orang mempunyai minatnya tersendiri, tidak hairanlah masing-masing mempunyai koleksi peribadinya sendiri. Sekiranya ketemu buku diminati, tidak lokek rasanya untuk berbelanja.
Namun kebanyakan buku dalam simpanan kami ketika di perantauan ini adalah yang terpakai. Ianya mudah ditemui dan harganya pula berganda murahnya berbanding buku baru. Tidak kisahlah, yang penting adalah kualiti ilmu yang terkandung di dalamnya. Moga ada manafaatnya.

1 comment:

affandiz said...

Salam saudara. Mohon singgah di http://www.stormreaders.net/rak_ilmu bagi mendapatkan buku-buku ilmiah, sesuai untuk semua peringkat umur.

Sekian
Wassalam